SHAH ALAM: Doktor, peguam dan pelbagai profesion lain antara 40 individu diambil keterangan bagi membantu siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung penganjuran sebuah program motivasi rumah tangga eHati pada September tahun lalu.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, mereka termasuk penganjur program itu dirakam keterangan bagi melengkapkan siasatan yang turut melibatkan Seksyen 7 (Doktrin Palsu) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
“Kita memanggil lebih kurang 40 orang saksi bagi tujuan kenyataan mereka direkodkan. Sehingga kini, siasatan masih diteruskan sebelum dihantar ke pihak pendakwaan syariah untuk tindakan selanjutnya,” katanya, pada sidang akhbar, semalam.
Tambahnya, bagaimanapun pihak berkuasa agama negeri ini berdepan pelbagai cabaran termasuk keengganan individu atau saksi terlibat yang menyertai program tersebut tampil bagi membantu siasatan kerana bimbang ia akan mengaibkan mereka.
“Saya difahamkan pada asalnya lebih kepada kegiatan melibatkan dalam rumah tangga suami isteri. Tetapi kemudiannya apabila dapat laporan, lain pula jadinya.
“Bila masyarakat mula bersuara dan ahli dalam eHATI juga menyatakan perkara yang mereka lakukan bertentangan undang-undang dan agama, maka kena ambil tindakan untuk menyiasat memastikan kebenaran yang ditohmahkan,” jelasnya.
Namun, Salehuddin turut menafikan JAIS melengahkan kertas siasatan yang menjadi isu kepentingan awam tersebut, sebaliknya ia dilakukan dengan teliti dan perlu memastikan tindakan diambil dengan betul.
“Kita sentiasa berpegang fakta bahawa kalau benar, benarlah ia. Kalau dia melakukan sesuatu kesalahan, undang-undang membenarkan tindakan diambil.
“Kalau kalah nanti, orang kata JAIS dan MAIS tidak berhati-hati untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak,” katanya.
Utusan Malaysia pada minggu lalu melaporkan pihak berkuasa memperluas siasatan terhadap penganjuran program eHati selepas didapati ia bukan sahaja berlaku di Selangor, tetapi turut diadakan di negara jiran.
Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, polis bersama JAIS sedang meneliti dan menyiasat penganjurannya termasuk aktiviti berbogel yang dipanggil sebagai Queen’s Night. – UTUSAN










