LONDON: Ons Jabeur terus dihantui kekecewaan apabila terpaksa menarik diri dalam pusingan pertama Wimbledon, sekali gus menambah luka kepada musim suram yang sedang dilaluinya.
Pernah dua kali mara ke final kejohanan berprestij itu, pemain Tunisia berusia 30 tahun itu gagal menamatkan aksi menentang pemain ranking ke-111 dunia, Viktoriya Tomova, apabila ketinggalan 6-7 (5-7), 0-2 di Court 14 semalam.
Jabeur kelihatan tidak selesa sejak awal perlawanan dalam suhu panas melampau, malah beberapa kali menggunakan tuala ais sebelum mengambil rawatan perubatan panjang selama 14 minit.
“Saya tak sangka saya akan rasa tak sedap badan. Saya berlatih dengan baik sebelum ini. Ini sangat menyedihkan. Ia langsung tak membantu keyakinan diri saya,” kata Jabeur.
Prestasi Jabeur menjunam sejak setahun lalu dengan masalah kecederaan dan kesihatan, termasuk insiden kesukaran bernafas di Terbuka Australia awal musim ini akibat serangan asma.
“Saya tetap cuba paksa diri walaupun musim ini sangat sukar. Sekarang saya perlu rehat dan lihat apa yang bakal berlaku,” katanya.
Jabeur yang pernah muncul tiga kali finalis Grand Slam kini berdepan dilema besar dalam kariernya dan merancang untuk bersara seketika daripada tenis bagi menenangkan fikiran. – AGENSI