SUNGAI PETANI: Kegiatan dua lelaki Geng Ali yang mencuri kad akses kabinet agihan atau kad kabinet milik syarikat telekomunikasi di sebuah pencawang tumpas apabila dicekup polis di Bandar Laguna Merbok, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, dua lelaki tempatan berusia 24 dan 27 tahun itu ditahan di sebuah rumah di sini pada 23 Julai lalu.
“Kita berjaya merampas 29 unit kad kabinet bernilai lebih RM80,000 yang disyaki dicuri dari pencawang. Operasi dilakukan berikutan peningkatan kes kecurian aset milik Telekom Malaysia (TM) yang dilaporkan di Kuala Muda kebelakangan ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Kata beliau, modus operandi kumpulan terbabit adalah mencuri kad itu sebelum meleburkannya bagi mendapatkan jalur emas dan seterusnya menjual kepada premis barang lusuh.
Menurutnya, perbuatan Geng Ali yang dipercayai dianggotai lebih daripada dua orang itu menyebabkan kawasan terlibat mengalami gangguan internet.
Jelasnya, semakan rekod lampau mendapati suspek berusia 24 tahun mempunyai dua rekod jenayah dan dadah, manakala suspek kedua mempunyai 14 rekod membabitkan lapan jenayah dan enam rekod dadah.
“Kita sedang mengesan saki-baki ahli geng terbabit dan kedua-dua suspek kini direman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sementara itu, dalam kes berasingan, Hanyan berkata, dua lelaki berusia lingkungan 30-an ditahan polis ketika dipercayai cuba memecah masuk sebuah kilang di Taman Perusahaan Ringan Bakar Arang, kira-kira 2 pagi pagi tadi.
Katanya, polis menerima laporan daripada seorang pengawal keselamatan yang menyedari kelibat tiga lelaki sedang memasuki kawasan kilang yang dijaganya.
“Anggota MPV yang membuat pemeriksaan menemui seorang lelaki meniarap di atas tanah di sebelah bangunan kilang. Tiba-tiba lelaki itu bangun dan cuba melarikan diri sebelum dia ditahan.
“Pemeriksaan seterusnya berjaya menahan seorang lagi suspek yang bersembunyi di dalam kawasan kilang, manakala seorang lagi suspek berjaya melarikan diri. Kita turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk memecah masuk kilang,” katanya.
Katanya, kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes pecah rumah dan dadah, sementara keputusan saringan air kencing mendapati mereka positif dadah dan kini direman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan. – UTUSAN
HANYAN Ramlan (tiga kanan) menunjukkan kad kabinet milik TM yang dirampas selepas penahanan dua ahli Geng Ali pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, Sungai Petani.










