PETALING JAYA: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pro-Palestine menganggap pencalonan Nick Adams sebagai Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia adalah cubaan mencabar prinsip kedaulatan dan pendirian Malaysia dalam isu-isu antarabangsa.
Eksekutif Strategik (Perhubungan Awam) Cinta Gaza Malaysia (CGM), Haikal Luqman Zulkefli berkata, ia juga satu taktik licik Presiden AS, Donald Trump untuk memperlekeh dan memalukan Malaysia.
Katanya, pencalonan itu juga berkait pendirian tegas negara ini dalam membela Palestin dan menentang dasar-dasar luar AS yang bertentangan dengan hak asasi manusia.
“Pencalonan Adams sebagai Duta AS ke Malaysia adalah satu tindakan yang sebenarnya cuba dilakukan oleh Trump untuk memalukan Malaysia kerana AS tahu, kita lantang menyuarakan isu Palestin dan menentang dasar-dasar AS yang kita rasakan tidak menepati hak-hak asasi manusia.
“Ini juga tindakan AS untuk cuba membuli negara-negara kecil yang lain daripada sudut ekonomi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Presiden Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Jismi Johari mendakwa, pencalonan tersebut merupakan agenda untuk memastikan setiap negara mempunyai wakil pro-Israel.
“Kami (NGO) berharap kerajaan membuat pertimbangan agar negara ini dapat mengelak segala implikasi daripada pelantikan Adams.
“Malaysia layak mempunyai duta yang mempunyai sifat profesionalisme dan sensitif terhadap suatu budaya, serta mempunyai komitmen untuk mengukuhkan hubungan antarabangsa,” katanya. – UTUSAN











