KUALA LUMPUR: Aktivis, Chegubard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin ditahan polis di kediamannya hari ini berkaitan Himpunan Turun Anwar pada Sabtu lalu.
Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali menerusi kenyataan memaklumkan Chegubard ditahan kira-kira pukul 2.30 petang di kediamannya.
Menurut beliau, pihaknya menerima pengesahan bahawa terdapat laporan polis terhadap CheguBard berkaitan himpunan yang berlangsung pada Sabtu lalu.
Malah, ujarnya, sepatutnya Chegubard sepatutnya dijadualkan berjumpa dengan pegawai penyiasat pada esok pada 11 pagi di Bukit Aman.
“Oleh itu, tangkapan dalam kes ini tidak diperlukan kerana CheguBard sentiasa telah memberi akujanji untuk menghadirkan diri di Bukit Aman,” katanya.
Polis setakat ini menerima empat laporan berkaitan Himpunan Turun Anwar di Dataran Merdeka di sini pada Sabtu lalu.
Terdahulu, Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Mohamed Usuf Mohamed Jan dilaporkan berkata, pihaknya menerima empat laporan berkaitan Himpunan Turun Anwar pada Sabtu lalu.
Beliau dilaporkan berkata, satu kes di bawah Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) manakala tiga lagi berkaitan dirujuk kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia (CAAM)
“Pada hari terbabit (Sabtu), kita memang tidak benarkan mana-mana dron diterbangkan jadi tiga laporan polis diterima tersebut dirujuk ke CAAM.
“Satu lagi kes apabila pihak polis mengesan dan ada mengambil rakaman video menunjukkan satu patung mirip Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) disebat di perkarangan Masjid Negara.
“Justeru, kita membuka siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.- UTUSAN