Buruh Indonesia didakwa edar 20KG syabu

Buruh Indonesia didakwa edar 20KG syabu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang buruh warga Indonesia didakwa di Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini atas pertuduhan mengedar syabu melebihi 20 kilogram (kg), bulan lalu.

Tertuduh, Munzir Abdurrahman, 50, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Normaizan Rahim.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 20.9 kg di tempat letak kenderaan sebuah pusat beli-belah di Taman Melawati di sini pada pukul 12.38 tengah hari, 22 Jun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup. 

Jika tidak dijatuhi hukuman mati, tertuduh hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.

Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, S. Kirthana mengendalikan pendakwaan manakala Munzir tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 3 Oktober ini untuk sebutan semula kes dan serahan laporan kimia.

Pada 22 Jun lalu, seorang lelaki warga Indonesia ditahan selepas didapati membawa beg berisi dadah jenis syabu di kawasan pusat beli-belah sama.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, suspek diberkas kira-kira pukul 12.35 tengah hari ketika berjalan kaki sambil menjinjit beg kanvas di tangan kanan.

Menurutnya, lelaki itu dipercayai menetap di negara ini sejak 10 tahun lalu.

“Hasil saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine, namun tiada rekod jenayah lampau direkodkan,” katanya – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN