LONDON: Amanda Anisimova menamatkan penantian panjang ke separuh akhir Grand Slam dengan kemenangan 6-1, 7-6 (11/9) ke atas Anastasia Pavlyuchenkova di suku akhir Wimbledon, awal pagi tadi.
Pemain pilihan ke-13 itu menyelamatkan lima set point dalam set kedua yang mendebarkan sebelum mengesahkan kemenangan ke atas pemain Rusia itu pada percubaan keempat.
“Ia benar-benar satu pertarungan sengit. Tiebreak tadi sangat mendebarkan. Saya sangat teruja ke separuh akhir buat kali pertama, ia amat istimewa,” kata Anisimova.
Pemain berusia 23 tahun itu pernah dianggap bintang remaja sensasi selepas mara ke separuh akhir Terbuka Perancis 2019 ketika berusia 17 tahun.
Namun tekanan berpanjangan menyebabkan dia mengambil rehat lapan bulan pada 2023 akibat kemurungan yang menjejaskan prestasinya di gelanggang.
“Saya rasa tidak adil untuk terus memaksa diri seolah-olah saya bukan manusia. Saya perlukan masa untuk menyegarkan semula fikiran saya,” katanya.
Selepas kembali, kedudukannya merosot hingga luar kelompok 400 dunia, namun bangkit menjuarai Terbuka Qatar Februari lalu dan mara ke final Kelab Queen’s pada Jun.
Kini dia hanya tinggal satu kemenangan daripada aksi final Wimbledon, namun perlu berdepan cabaran getir bertemu pemain No. 1 dunia, Aryna Sabalenka. – AGENSI