Israel lancar serangan udara pada hari kedua Ramadan - Utusan Malaysia

Israel lancar serangan udara pada hari kedua Ramadan

SERANGAN udara Israel di sebuah kawasan di Khan Younis, Gaza, 31 Januari lalu. - Foto AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR GAZA: Tentera rejim Zionis melancarkan serangan udara besar-besaran dan bedilan artileri di Semenanjung Gaza semalam pada  hari kedua bulan suci Ramadan meskipun terdapat perjanjian gencatan senjata yang dimeterai pada 10 Oktober tahun lalu.

Saksi-saksi memberitahu agensi berita Anadolu bahawa jet pejuang Israel melakukan serangan hebat di kejiranan timur Bandar Gaza di bahagian utara, selain bedilan artileri di kawasan sekitarnya.

Tentera Israel turut melepaskan suar cahaya di timur kejiranan Shujaiya, timur Bandar Gaza.

Sementara itu, di bandar Khan Younis dan Rafah, saksi-saksi melaporkan sekurang-kurangnya dua serangan udara Israel di kawasan timur yang berada di bawah kawalan tentera rejim. 

Bedilan artileri juga menyasarkan kawasan al-Mawasi yang terletak di barat Rafah.

Setakat ini, masih belum dapat dipastikan sama ada bedilan tersebut menyebabkan kecederaan atau kematian dalam kalangan penduduk Palestin.

Penduduk Palestin di Gaza menyambut Ramadan tahun ini dalam suasana kemusnahan besar-besaran susulan serangan Israel selama dua tahun. 

Walaupun perjanjian gencatan senjata telah dicapai, infrastruktur di sana kekal lumpuh dan keadaan hidup penduduk sangat tertekan.

Israel yang mendapat sokongan Amerika Syarikat (AS) memulakan peperangan di Gaza pada 8 Oktober 2023. 

Konflik tersebut telah mengakibatkan lebih 72,000 penduduk Palestin maut dan lebih 171,000 lagi cedera, yang mana sebahagian besarnya merupakan wanita dan kanak-kanak. Selain itu, hampir 90 peratus infrastruktur awam dilaporkan musnah.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, tentera Israel terus melancarkan serangan walaupun dalam tempoh gencatan senjata, yang telah meragut sekurang-kurangnya 611 nyawa penduduk Palestin dan mencederakan 1,630 lagi yang lain. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN