Agong titah PBT bersihkan sekitar Jalan Gallagher

Agong titah PBT bersihkan sekitar Jalan Gallagher

SULTAN Ibrahim berkenan berjalan kaki meninjau tahap kebersihan di sekitar Jalan Gallagher. - FACEBOOK SULTAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan melakukan tinjauan berjalan kaki sejauh 3.2 kilometer bagi meninjau tahap kebersihan di sekitar Jalan Gallagher di sini, hari ini.

Dalam tinjauan mengejut awal pagi tadi, Baginda turut meneliti keadaan longkang, persekitaran kawasan serta kewujudan sampah sarap yang dibuang sewenang-wenangnya di tepi jalan dan menitahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) segera mengambil tindakan memastikan kebersihan serta keselamatan persekitaran sentiasa terpelihara demi kesejahteraan rakyat.

Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap isu kebersihan dan keselamatan awam, khususnya berhubung risiko kesihatan dan pengguna jalan raya.

“Pembuangan sampah sarap di tepi jalan bukan sahaja menjadi pembiakan Aedes, namun boleh menjejaskan kesihatan para penghuni di kawasan sekitarnya.

“Begitu juga saya melihat terdapat dahan-dahan pokok besar di atas jalan raya yang boleh mengundang bahaya kepada orang ramai khususnya penunggang motosikal di waktu malam,” titah Seri Paduka Baginda dalam Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.

Turut mengiringi Seri Paduka  pada aktiviti senaman berjalan kaki dan tinjauan berkenaan ialah Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Tan Sri Azmi Rohani serta Datuk Paduka Maharaja Lela, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini bersama kakitangan Istana Negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN