UPM kini ke-134 terbaik di peringkat global

UPM kini ke-134 terbaik di peringkat global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Universiti Putra Malaysia (UPM) membuktikan kecemerlangannya di persada antarabangsa apabila mencatat lonjakan dalam QS World University Rankings (QS WUR) untuk tiga tahun berturut-turut. 

Dalam penarafan terbaharu QS WUR 2026, UPM berjaya mendapat kedudukan ke-134 terbaik dunia menerusi peningkatan skor dalam kesemua indikator penilaian. 

Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah berkata, kejayaan itu hasil kerjasama seluruh warga universiti yang meletakkan kerangka True North UPM sebagai teras utama sasaran kesohoran di peringkat global. 

“Dedikasi dan sokongan semua pihak membolehkan UPM terus mencipta kejayaan berterusan, terutamanya dalam aspek penyelidikan dan pengiktirafan antarabangsa. 

“Pencapaian ini, bukan sahaja menyerlahkan kebitaraan UPM, malah membuka lebih banyak peluang untuk menarik minat pelajar antarabangsa mengikuti program pengajian di UPM dan menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya dalam kenyataan. 

UPM dalam kenyataan pula berkata, lonjakan skor dalam Reputasi Akademik mencerminkan pengiktirafan tinggi daripada komuniti akademik serantau dan global terhadap pembelajaran yang dihasilkan oleh universiti itu. 

Katanya, kejayaan didorong oleh peningkatan skor pada dua indikator utama yang merupakan antara komponen penting dalam penilaian QS.

“UPM telah mencatat peningkatan skor sebanyak 14.7 mata bagi indikator Reputasi Akademik dan skor Sitasi per Fakulti meningkat sebanyak 12.6 mata.

“Peningkatan ini mencerminkan impak penyelidikan warga akademik UPM di peringkat antarabangsa yang memperkukuh penerbitan dalam jurnal berimpak tinggi,” katanya. 

UPM berharap untuk terus memberikan tumpuan dalam kualiti penyelidikan khususnya bidang pertanian dan keterjaminan makanan serta meningkatkan reputasi di peringkat serantau dan global. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN