Autisme bukan penghalang genggam ijazah dan bergelar pendidik

Autisme bukan penghalang genggam ijazah dan bergelar pendidik

MUHAMMAD Syazni Hanif Mohd. Rafi bersama ibunya pada Majlis Konvokesyen UPM Ke-49 di Serdang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Dilahirkan dengan autisme ringan tidak menjadi penghalang kepada Muhammad Syazni Hanif Mohd. Rafi, 25, untuk melakar kejayaan.

Graduan Sarjana Muda Kesusasteraan Inggeris dengan Kepujian Universiti Putra Malaysia (UPM) itu membuktikan bahawa kekangan bukan alasan untuk berputus asa, sebaliknya mampu diatasi dengan sokongan, usaha dan keyakinan diri sehingga cemerlang dalam akademik, kepimpinan dan kerjaya.

Muhammad Syazni Hanif mengetahui mengenai kekurangan dimiliki daripada ibunya, Rafizah Abdul Rahman, 52, ketika berusia sembilan tahun, namun hanya benar-benar memahami maksud autisme ringan sewaktu meniti usia remaja.

“Saya benar-benar faham maksudnya ketika berusia sekitar 15 hingga 17 tahun,” katanya ketika ditemui.

Mengakui melalui fasa membesar yang mencabar, Muhammad Syazni Hanif berkata, aspek pergaulan dan interaksi sosial menjadi antara halangan utama, namun berjaya ditangani secara berperingkat.

“Proses itu mengambil masa, tetapi dengan sokongan ibu dan rakan-rakan, saya dapat membina keyakinan diri serta hubungan sosial yang lebih baik,” ujarnya.

Dia tidak menafikan kekuatan sebenar di sebalik kejayaannya hari ini datang daripada ibunya yang sentiasa memperjuangkan hak dan pendidikan terbaik untuknya.

“Saya amat menghargai jasa ibu. Tanpa beliau, saya tidak akan berada di tahap ini.

“Saya masih ingat bagaimana ibu berusaha supaya saya diterima bersekolah. Pada awalnya saya hampir ditolak kerana keadaan saya dianggap masalah pembelajaran. Selepas ibu membuat rayuan, saya menjalani ujian darjah kecerdasan otak (IQ) dan memperoleh skor 98 peratus, sekali gus melayakkan saya diterima berdasarkan merit,” katanya.

Cabaran turut berlanjutan ke peringkat universiti terutama dalam kursus yang memerlukan interaksi tinggi.

Namun minat mendalam terhadap Bahasa Inggeris serta penyertaan aktif dalam aktiviti kolej banyak membantunya menyesuaikan diri.

Di UPM, Muhammad Syazni Hanif bukan sahaja cemerlang dalam pengajian, malah aktif kepimpinan apabila dilantik sebagai Ahli Majlis Perwakilan Kolej (MPK) Kolej 14 termasuk menyandang jawatan Exco Kelestarian Hijau dan Kesukarelawanan.

“Saya membina rasa tanggungjawab sejak menjadi pengawas di sekolah menengah dan mahu terus memikul amanah itu ketika menjadi Ahli MPK.

“Para felo dan rakan setugas banyak memberi kepercayaan serta tunjuk ajar, menjadikan saya lebih bersemangat untuk memimpin,” katanya.

Kini, Muhammad Syazni Hanif mengajar di sebuah sekolah antarabangsa di Melaka dengan tekad menyampaikan ilmu serta memupuk minat pelajar terhadap Bahasa Inggeris.

Beliau turut berharap kisahnya dapat menjadi inspirasi kepada kanak-kanak dan pelajar dalam spektrum autisme.

“Jangan mudah mengalah. Jangan berundur, belajar secara konsisten dan terus melangkah ke hadapan,” pesannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN