PETALING JAYA: Kawasan Sawah Sempadan menjadi meriah apabila Karnival Putra@Sawah Sempadan 2025 anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama pemimpin dan agensi tempatan membuka tirai secara rasmi hari ini.
Program dua hari itu menghimpunkan lebih 15 acara menarik melibatkan aspek pendidikan, kesihatan, pertanian, inovasi, budaya dan keusahawanan bermula pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang.
Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UPM, Prof. Madya Dr. Khairulmazmi Ahmad berkata, karnival itu merupakan manifestasi komitmen UPM dalam memperkasa pembangunan komuniti secara inklusif dan lestari selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.
“Kami menggabungkan pelbagai pendekatan melalui pameran interaktif, demonstrasi teknologi pertanian, pertandingan rakyat serta sesi pemindahan ilmu yang memberi manfaat terus kepada masyarakat setempat,” katanya.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UPM, Prof. Dr. Ir. B.T. Hang Tuah Baharudin.
Acara dimulakan dengan sesi pemindahan ilmu kesihatan bertajuk Pencegahan Denggi dan Bahaya Merokok yang disampaikan oleh Dr. Sakinah Othman dari Hospital Sultan Abdul Aziz Shah UPM.
Antara yang mencuri tumpuan adalah Pertandingan Inovasi Kreativiti (INOKREATIF), Pertandingan Mewarna Kanak-kanak serta Pertandingan Memancing yang berlangsung di kawasan tali air berhampiran.
Acara kemuncak esok menampilkan demonstrasi masakan warisan berasaskan tempe dan ubi kayu, Pertandingan Gusti Lengan Kampung serta Bengkel Pembuatan Jem Nanas.
Majlis penutup akan berlangsung pada pukul 12 tengah hari dengan acara penyampaian hadiah dan penghargaan kepada para pemenang dan agensi terlibat. – UTUSAN










