UCI tubuh Pusat Berbasikal Dunia di Johor Bahru

UCI tubuh Pusat Berbasikal Dunia di Johor Bahru

Amarjit Singh Gill
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia terus melakar sejarah sebagai antara kuasa besar sukan berbasikal di Asia apabila Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) meluluskan penubuhan Pusat Berbasikal Dunia (WCC) di Johor Bahru.

Pusat yang bakal dikenali sebagai WCC BMX Johor Bahru itu akan menjadi antara hab pembangunan utama bagi disiplin BMX di rantau ini dan menjadi pusat satelit pembangunan benua serta wilayah di bawah naungan UCI WCC yang berpusat di Aigle, Switzerland.

Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) yang juga Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Dato’ Amarjit Singh Gill berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan UCI (MC UCI) yang dipengerusikan Presiden UCI, David Lappartient, baru-baru ini.

“Pusat BMX WCC Johor Bahru akan bekerja rapat dengan UCI WCC di Aigle, Switzerland. Pusat ini akan berperanan penting untuk pembangunan sejagat berbasikal dan menjadi pusat kecemerlangan sukan kepada Persekutuan Negara (NF),” katanya dalam kenyataan dikeluarkan PKBM, semalam.

Menurut Amarjit, pusat tersebut akan diberi kuasa autonomi dalam pelaksanaan projek dan misi bagi memastikan keberkesanan pembangunan sukan BMX di peringkat serantau.

“Saya telah memberi jaminan bahawa Pusat BMX WCC Johor Bahru akan lebih bersifat autonomi dalam melaksanakan projek dan misi. Saya berharap Pusat BMX WCC Johor Bahru akan mempromosikan kemajuan pelumba berbasikal ke tahap tertinggi,” ujarnya.

Dengan penubuhan pusat tersebut, Malaysia kini secara rasmi menjadi negara keempat di Asia yang mempunyai pusat pembangunan berbasikal WCC selepas Korea Selatan (Seoul), China (Shanghai) dan Jepun (Shizuoka).

Tambah beliau, pusat di Johor Bahru itu akan dikendalikan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri Johor, Majlis Sukan Negeri (MSN) Johor dan Persatuan Berbasikal Negeri Johor (PBNJ).

Beliau turut menyifatkan keputusan UCI ini sebagai kejayaan besar buat Malaysia, khususnya dalam pembangunan sukan BMX di Asia Tenggara.

“Sebagaimana yang kita tahu negara Asia Tenggara seperti Thailand, Indonesia, Singapura dan Filipina memiliki ramai pelumba BMX berbakat. Justeru dengan penubuhan Pusat BMX WCC Johor Bahru, saya percaya Malaysia juga akan mendapat faedah terus daripada keputusan UCI,” katanya lagi.

Amarjit turut mendedahkan bahawa hasrat menubuhkan pusat tersebut telah diperjuangkan oleh PKBM sejak lebih satu dekad lalu.

“Saya sangat gembira dengan kelulusan UCI MC ini kerana ia ialah perjuangan berpanjangan PKBM sejak 2014. Akhirnya Malaysia menerima pengiktirafan terbesar daripada UCI selepas saya mengadakan beberapa mesyuarat dengan Pengarah WCC dan juga dengan Presiden UCI.

“Harapnya semua pihak di Malaysia khususnya KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan MSN (Majlis Sukan Negara) akan berasa bangga dengan keputusan UCI ini,” jelasnya.

Idea penubuhan Pusat BMX WCC Malaysia telah dicetuskan lebih awal oleh PKBM sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kualiti dan prestasi pelumba BMX negara ke tahap antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN