Tragedi pelajar UPSI: Wajib pasang sistem telematik pada bas, lori

Tragedi pelajar UPSI: Wajib pasang sistem telematik pada bas, lori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengenakan syarat pelesenan dengan mewajibkan semua pengendali bas dan kenderaan logistik memasang peranti telematik yang dihubungkan kepada pangkalan data pemandu sebagai sebahagian daripada Sistem Hab Pemantauan Prestasi (PMHS).

Aktivis keselamatan jalan raya dan pengangkutan, Shahrim Tamrin berkata, langkah itu penting untuk meningkatkan keselamatan pengangkutan darat, sekali gus menangani isu pemandu yang mempunyai rekod saman lampau tetapi masih dibenarkan memandu kenderaan berat.

“Saya merujuk kepada laporan pengumuman Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengenai pembangunan sistem pangkalan data oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk pemandu bas ekspres dan bas persiaran.

“Masalahnya, sudah menjadi perkara biasa apabila pemandu yang memiliki banyak saman atau rekod kesalahan masih boleh terus memandu bas ekspres, bas henti-henti, bas persiaran dan lori tanpa pemantauan berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Shahrim berkata, kegagalan menyelaras rekod dan penguatkuasaan antara agensi kerajaan seperti Kementerian Pengangkutan, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan APAD telah memburukkan lagi keadaan.

“Rekod pemegang Lesen Vokasional seperti Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan Lesen Kenderaan Barangan (GDL) tidak diselaraskan dengan sistem pemantauan bersama,” jelasnya.

Tambah beliau, isu ini bukan perkara baharu kerana sekitar lapan tahun lalu, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah memperkenalkan Sistem Maklumat Pemandu (DIS) untuk pemandu teksi.

Katanya, sistem DIS yang dibangunkan sejak 2013 merangkumi enam fungsi utama termasuk permohonan kad pemandu, semakan pra-pekerjaan, penilaian prestasi dan semakan kesahihan lesen serta rekod kesalahan.

“DIS mengklasifikasikan pemandu berdasarkan rekod prestasi mereka termasuk kesalahan lalu lintas, jenayah dan aduan pengguna.

“Malah, ia juga memberi ketelusan kepada orang awam serta majikan teksi untuk menilai status dan kelayakan seseorang pemandu,” ujarnya.

Shahrim berkata, pada 2017, SPAD sekali lagi berusaha memperluaskan konsep sama melalui pembangunan sistem berpusat dikenali sebagai Drivers and Commercial Vehicles Information System (DCVIS) untuk sektor pengangkutan berat seperti bas dan lori.

“Objektifnya ialah untuk mewujudkan sistem elektronik bagi memudahkan saringan pemandu yang berkelayakan serta memiliki rekod bersih sebelum diambil bekerja oleh pengendali,” katanya.

Justeru, katanya, usaha tersebut perlu disambung semula oleh APAD dengan penguatkuasaan pelesenan baharu yang mewajibkan penggunaan sistem telematik dan pangkalan data pemandu secara menyeluruh.

“Sudah tiba masanya sistem pemantauan dan penilaian pemandu diwajibkan dalam setiap lesen pengendali bas dan logistik, bagi memastikan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya lebih terjamin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN