KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menahan tiga pemandu bas selepas dikesan positif dadah jenis methamphetamine menerusi Operasi Khas Tahun Baharu Cina 2026 yang bermula Khamis lalu.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi berkata, dua daripada pemandu terbabit ditahan di Seremban, Negeri Sembilan manakala seorang lagi di Pahang.
Katanya, ketiga-tiga lelaki berusia antara 36 tahun hingga 47 tahun itu dikesan positif bahan terlarang tersebut melalui ujian saringan air kencing yang dijalankan dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
“Mereka adalah antara 381 pemandu bas ekspres yang menjalani ujian saringan dalam operasi khas yang bermula sejak 9 Februari lalu.
“Kita tidak berkompromi dengan mana-mana pemandu yang berada di bawah pengaruh dadah kerana ia melibatkan keselamatan nyawa penumpang,” katanya sempena Operasi Khas Tahun Baharu Cina 2026 di Terminal Bas Lembah Sireh di sini, malam tadi.
Jazmanie berkata, sehingga semalam, sebanyak 4,242 buah bas diperiksa di depoh dan terminal melibatkan semua jenis bas.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 779 slip pemeriksaan dikeluarkan dan dua buah bas disita selepas didapati tidak mematuhi keperluan keselamatan dan perundangan yang ditetapkan.
“JPJ turut melaksanakan operasi penyamaran sebagai penumpang bas yang merupakan antara strategi penguatkuasaan bagi memantau tahap pematuhan undang-undang dan aspek keselamatan secara lebih menyeluruh.
“Usaha itu bertujuan memastikan semua bas ekspres yang beroperasi berada pada selamat, mematuhi piawaian teknikal dan syarat lesen pengendali sepanjang tempoh peningkatan pergerakan orang ramai sempena musim perayaan,” ujarnya.
Beliau berkata, selain itu, sebanyak 106 tindakan penguatkuasaan telah direkodkan di seluruh negara melibatkan kenderaan barangan.
Katanya, lima negeri yang merekodkan tindakan tertinggi adalah Negeri Sembilan dengan 35 kes, Selangor (16 kes), Pulau Pinang (15 kes), Perak (12 kes) dan Terengganu (sembilan kes). – UTUSAN










