Majikan perlu wajibkan bakal pemandu jalani saringan air kencing

Majikan perlu wajibkan bakal pemandu jalani saringan air kencing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Setiap majikan perlu mewajibkan bakal pemandu bas dan lori menjalani ujian air kencing bagi memastikan mereka bebas daripada pe­ngaruh dadah sebelum dibenarkan bertugas.

Langkah itu dilihat penting bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya, khusus­nya dalam sektor pengangkutan awam dan kenderaan berat yang melibatkan risiko tinggi kepada orang awam.

Penyelaras Gabungan Peman­du Lori, R. Mohana berkata, isu penggunaan dadah perlu dita­ngani secara menyeluruh de­ngan melihat kelemahan sistem dan persekitaran kerja sedia ada.

Menurutnya, ramai pemandu lori berdepan tekanan berkaitan struktur gaji tidak standard serta perjalanan jauh berhari-hari tanpa pemandu kedua.

“Walaupun keputusan ber­kaitan isu keselamatan kende­raan termasuk penggunaan ta­yar tidak menepati piawaian ser­ta lebihan muatan dibuat oleh pihak majikan, namun kebanyakannya isu tersebut sering ditanggung pemandu kerana ramai majikan sering mengambil sikap lepas tangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam akhbar ini melaporkan, sebahagian daripada pemandu lori dan bas mengakui mengambil dadah bagi memastikan mereka tahan dan tidak mengantuk untuk perjalanan jauh.

Mereka juga mengakui de­ngan mengambil bahan terla­rang itu mampu membantu memandu dalam tempoh yang lama untuk mengejar trip demi pendapatan lebih.

Tambah Mohana, ketiadaan undang-undang khusus melin­dungi pemandu lori dan bas memburukkan keadaan, ditambah kelemahan penguatkuasaan peruntukan Akta Kerja dalam industri pengangkutan.

Katanya, kelemahan sistem tersebut mewujudkan persekitaran kerja berisiko yang perlu diperbetulkan secara seri­us oleh kerajaan dan pihak ber­kaitan.

“Saya mencadangkan kerajaan memperkemas dasar per­lindungan serta penguatkuasaan sektor pengangkutan se­belum mewajibkan ujian air ken­cing terhadap semua pemandu bas dan lori,” katanya.

Sementara itu, Presiden Per­sekutuan Persatuan-Persatu­an Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat berkata, peme­riksaan kesihatan perlu diwajibkan kepada mereka yang pertama kali memohon lesen kenderaan barangan (GDL) serta Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV).

“Bagi permohonan kali pertama, pemandu perlu membuat permohonan dengan menggu­nakan borang Jabatan Pe­ngangkutan Jalan 8A (JPJ8A), manakala bagi pembaharuan lesen, pemeriksaan kesihatan dilakukan menggunakan borang Jabatan Pengangkutan Jalan 8 (JPJ8),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×