Tasik Attabad, keajaiban yang lahir daripada tragedi

Tasik Attabad, keajaiban yang lahir daripada tragedi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA tanah runtuh besar menghalang aliran Sungai Hunza sekitar 15 tahun lalu, bencana alam itu bukan sahaja memusnahkan beberapa buah kampung, tetapi turut mewujudkan sebuah tasik terindah di Pakistan.

Insiden itu meranapkan puluhan kediaman, meragut 20 nyawa serta memaksa lebih 6,000 orang berpindah.

Namun di sebalik kehancuran, lahir satu keajaiban alam dipanggil Tasik Attabad yang kini menjadi tumpuan pelancong di seluruh dunia.

Tasik ini tidak wujud dalam peta sebelum 4 Januari 2010 tetapi hari ini, ia membentang sejauh 21 kilometer dan mencapai kedalaman lebih 100 meter.

Panoramanya cukup memukau, dengan air berwarna biru zamrud, dikelilingi pula puncak-puncak gersang yang menjulang terus dari air glasier.

Menjelang Jun 2010, Tasik Attabad menenggelamkan kampung Shishkat dan sebahagian bandar Gulmit, serta memusnahkan enam jambatan dan 25 kilometer laluan utama Lebuhraya Karakoram.

Bencana ini menggoncang komuniti, tetapi memperlihatkan bagaimana alam boleh membentuk keindahan dalam sekelip mata, sesuatu yang biasanya mengambil ribuan tahun berlaku dalam jangka hayat manusia.

Pada tahun 2012, kerja-kerja letupan berjaya menurunkan paras air tasik sebanyak 10 meter.

Satu projek mega bernilai AS$275 juta (RM1.16 bilion) dilaksanakan bagi membina lima terowong dan mengubah laluan jalan ke sempadan Xinjiang, China.

Hasilnya, kawasan ini kembali diakses dan dibuka kepada pelancong.

Kini, Tasik Attabad menjadi lokasi wajib dikunjungi, kata Misa Talpur, antara wanita pertama Pakistan yang menjadi pengembara solo secara profesional.

“Air tasik yang biru dan latar gunung menjadikannya lokasi ideal untuk bergambar, terutama dari puncak Baskochi Meadows, lokasi terbaik untuk melihat panorama pergunungan, terutama saat matahari terbenam seperti seekor burung,” katanya.

Pelancong tempatan datang beramai-ramai setiap musim cuti dari Jun hingga September untuk berperahu, menaiki jet ski, mencuba tali luncur udara, menikmati makanan tempatan di gerai teh tepi tasik selain menyertai acara unggun api dan muzik musim panas.

Lebih bermakna, tasik ini kini menjadi sumber rezeki bagi penduduk yang terkesan secara langsung oleh bencana alam di kawasan itu.

Keluarga dari kampung Shishkat menguruskan kiosk makanan, kedai kraftangan dan perkhidmatan bot.

Hotel-hotel besar menyewa tanah daripada penduduk tempatan, memberikan pulangan ekonomi tambahan kepada mereka.

Sania Malik dari Aga Khan Agency for Habitat (AKAH) memaklumkan, komuniti di sini semakin kuat.

Dia kini melatih 75 penduduk, termasuk ramai wanita dalam tindak balas kecemasan dan keusahawanan.

“Kami benar-benar mahu memperkasakan wanita sebagai penyelamat pertama. Merekalah yang akan menguruskan keluarga dalam keadaan krisis di sekitar kawasan ini,” jelasnya.

Namun begitu, Pakar Sains Bumi Universiti Oxford, Prof. Mike Searle memberi amaran tentang masa depan tasik ini.

“Jika berlaku gempa bumi besar secara mendadak, tasik ini berpotensi musnah, mengakibatkan banjir besar ke arah Gilgit dan kawasan sekitarnya. Kajian juga menunjukkan endapan lumpur mula menyusutkan saiz tasik secara perlahan-lahan,” ujarnya.
Meskipun demikian, bagi Talpur, Tasik Attabad tetap menjadi simbol kekuatan masyarakat di Pakistan.

“Kita selalu anggap tragedi sebagai penamat, tetapi apabila sesuatu itu hancur dan dibina semula, ia bahkan menjadi lebih kuat.

“Tasik Attabad adalah kisah keindahan yang lahir daripada kehancuran. Di sebalik permukaannya yang tenang dan jernih, ada sejarah duka dan ketabahan luar biasa.

“Ia mengingatkan kita alam bukan hanya mencipta kemusnahan, tetapi juga peluang baharu jika kita berani untuk membinanya semula,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN