Suspek bunuh ibu dan abang seorang pendiam

Suspek bunuh ibu dan abang seorang pendiam

YULIYANI MD. TUIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Remaja lelaki berusia 17 tahun yang menjadi suspek utama dalam kes pembunuhan ibu dan abangnya di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai di sini, semalam disifatkan jiran-jiran terdekat sebagai seorang pendiam dan tidak menunjukkan sebarang tingkah laku mencurigakan.

Sepanjang tiga tahun berjiran dengan keluarga itu, Yuliyani Md. Tuin, 34, mengakui terkejut apabila mengetahui suspek bertindak demikian dan turut mencederakan adik bongsunya.

Yuliyani berkata, keluarga itu tidak pernah menimbulkan sebarang masalah kepada kejiranan, namun sering kedengaran pertengkaran antara empat beranak itu sejak kematian si ayah pada Januari lalu.

“Walaupun ada terdengar mereka bergaduh, ia cuma berlaku dalam rumah, tak pernah saya nampak mereka bertengkar di luar.

“Kalau terserempak pun, budak itu cuma senyum saja, kami tak pernah berbual sebab dia memang jenis pendiam,” katanya ketika ditemui.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, tekanan perasaan kerana dipaksa belajar oleh ibu dan abang dipercayai menjadi punca seorang remaja lelaki bertindak membunuh kedua-dua ahli keluarganya dalam kejadian di Taman Rambai Mutiara, awal pagi semalam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek berusia 17 tahun yang juga calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini ditahan kira-kira pukul 5 pagi dalam keadaan termenung di hadapan rumahnya selepas kejadian berdarah itu.

Katanya, suspek mengaku menikam ibunya berusia 51 tahun yang juga seorang guru serta abangnya berumur 21 tahun sehingga maut, manakala adik berusia 13 tahun yang turut ditikam kini dirawat di hospital.

Tambah Yuliyani, dia langsung tidak menyangka pergaduhan berterusan akhirnya membawa kepada tragedi berdarah.

“Sebab itu bila pagi semalam saya nampak ambulans dan polis depan rumah, saya betul-betul terkejut, tak sangka sampai jadi macam ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN