SHAH ALAM: Pelajar sekolah yang didakwa membunuh seorang pelajar perempuan dekat sebuah sekolah menengah tahun lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.
Remaja lelaki berusia 15 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Adlin Abdul Majid.
Bagaimanapun, prosiding itu dijalankan secara tertutup dengan hanya peguam dan keluarga remaja berkenaan dibenarkan berada di kamar mahkamah kerana melibatkan kes juvana.
Peguam Kitson Foong yang mewakili tertuduh berkata, pertuduhan itu dibacakan secara penuh dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah.
“Dia yang memahami pertuduhan kemudian membuat pengakuan tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan. Justeru, tarikh-tarikh perbicaraan akan ditetapkan mahkamah ketika sebutan pengurusan kes pada 6 Mac depan,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Katanya, pembelaan menjangkakan prosiding akan berlangsung selama dua minggu sekitar Julai depan kerana pihak-pihak tidak mahu memanjangkan kes.
“Mahkamah turut memutuskan hanya pihak pembelaan tertuduh dan barisan pendakwaan dibenarkan mengikuti perbicaraan kelak.
Kebenaran turut diberikan kepada dua peguam pemerhati Majlis Peguam Malaysia dan Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia) untuk berada di kamar ketika prosiding itu,” ujarnya.
Tambah beliau, mahkamah tidak membenarkan kehadiran peguam pemerhati bagi keluarga mangsa, sebaliknya kemungkinan mereka akan dipanggil memberi keterangan sebagai saksi kes.
Pada 22 Oktober tahun lalu, tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan pertuduhan, remaja itu didakwa membunuh mangsa di bilik tandas perempuan sebuah sekolah di Bandar Utama antara pukul 9.20 hingga 9.35 pagi, 14 Oktober tahun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan. – UTUSAN










