JOHOR BAHRU: Lima warga Singapura termasuk seorang wanita direman selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini bagi membantu siasatan pembunuhan seorang lelaki di Southkey, di sini pada 14 Mac lalu.
Perintah reman terhadap semua suspek berusia antara 24 hingga 33 tahun itu dikeluarkan Majistret Chai Ing Hien.
Semalam, seorang lagi suspek kes pembunuhan tersebut turut disambung reman sehingga 31 Mac depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada 20 Mac lalu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad dilaporkan berkata pihaknya menemukan mayat seorang lelaki berusia 32 tahun yang diserang menggunakan senjata tajam oleh beberapa individu termasuk di bahagian lehernya.
Katanya, lima suspek telah ditahan, dimana suspek pertama ditahan ketika cuba melepasi pemeriksaan imigresen ke Singapura pada 18 Mac sebelum empat lagi suspek ditahan polis republik berkenaan keesokan harinya.
Semalam, Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat dilaporkan berkata, pihaknya telah menahan seorang lagi suspek berkenaan kes pembunuhan tersebut dengan bantuan polis Singapura, pagi semalam. – UTUSAN










