SST: KPK rancang libat urus bersama penggiat industri oleokimia 

SST: KPK rancang libat urus bersama penggiat industri oleokimia 

JOHARI Abdul Ghani ketika melawat reruai pada majlis pelancaran Program Pemindahan Teknologi Sawit MPOB (TOT MPOB) 2025, di sini, hari ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) merancang untuk mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri bagi meneliti kesan peluasan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap sektor oleokimia yang dijadual berkuat kuasa mulai 1 Julai ini.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, KPK ingin mendapatkan maklum balas secara langsung daripada penggiat industri termasuk pengusaha kilang sawit, penapis serta pengeluar produk oleokimia bagi memahami isu-isu yang dibangkitkan.

“Saya telah mengarahkan pasukan kementerian untuk berjumpa dengan pemain industri. Kita tidak boleh hanya dengar rungutan daripada pihak luar yang tiada kaitan langsung dengan industri.

“Memang betul, tidak semua orang suka membayar cukai tetapi dari sudut ekonomi, kita perlukan sistem percukaian. Apa yang penting adalah memastikan ia tidak menjejaskan daya saing industri kita,” katanya.

Beliau ketika ditemui selepas pelancaran Program Pemindahan Teknologi Sawit MPOB (TOT MPOB) 2025, di sini, hari ini. 

Terdahulu, CIMB Securities dalam nota penyelidikannya melaporkan bahawa peluasan SST khususnya cukai jualan sebanyak 5.0 peratus ke atas minyak isirung sawit dijangka akan meningkatkan kos input bagi sektor oleokimia. 

Ia dijangka memberi kesan kepada aktiviti pembuatan hiliran, sekali gus berpotensi menjejaskan syarikat-syarikat yang terbabit dalam pengeluaran produk oleokimia.

Pada 9 Jun, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata kerajaan akan melaksanakan semakan kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan secara bersasar berkuat kuasa 1 Julai ini, selaras dengan pengumuman Belanjawan 2025 lalu.

Langkah itu bertujuan mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan meningkatkan hasil dan meluaskan asas percukaian, tanpa membebankan rakyat terbanyak.

Tambah Johari, bahan mentah yang dieksport ke luar negara tidak akan dikenakan SST.

Beliau turut percaya isu yang timbul mungkin berpunca daripada salah faham terhadap mekanisme pelaksanaan cukai tersebut.

“Jika benar SST menyebabkan daya saing industri terjejas, kita akan teliti. Tetapi kena pastikan betul-betul di mana masalahnya sebelum buat keputusan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN