PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memfailkan tindakan sivil terhadap dua saluran di platform Telegram iaitu ‘Edisi Siasat’ dan ‘Edisi Khas’ yang dikenal pasti menyebarkan kandungan yang didapati melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
SKMM dalam kenyataan memaklumkan, langkah itu susulan kedua-dua saluran itu berpotensi menghakis kepercayaan terhadap institusi awam negara serta menjejaskan ketenteraman masyarakat.
“Tindakan ini merupakan yang pertama seumpamanya diambil terhadap penyedia platform media sosial, kerana Telegram merupakan pemegang lesen Perkhidmatan Aplikasi (Kelas) [“ASP(C)”].
“Ia susulan kegagalan serius Telegram untuk menangani kandungan yang telah berulang kali dilaporkan kepada pihak mereka, walaupun pelbagai usaha rundingan dan kerjasama telah dilakukan oleh SKMM.
“Berikutan tahap pematuhan yang tidak memuaskan, SKMM telah memohon dan berjaya memperoleh perintah injunksi interim daripada Mahkamah Tinggi sebagai langkah terakhir bagi menghentikan penyebaran kandungan memudaratkan tersebut serta menghalang penerbitan semula kandungan-kandungan seumpamanya.
“Tindakan ini diambil demi memastikan kedaulatan undang-undang ditegakkan dan kepentingan awam terus dilindungi,” katanya, hari ini.
Selain itu, pihak Telegram juga akan diberikan ruang sewajarnya untuk mengemukakan pembelaan selaras dengan prinsip keadilan dan hak asasi.
“SKMM sebagai badan kawal selia ingin mengingatkan bahawa semua penyedia platform media sosial bertanggungjawab terhadap kandungan yang diterbitkan di ruang digital masing-masing.
“SKMM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sama untuk platform lain juga bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengguna terus terpelihara.
“MCMC kekal komited dalam memastikan ruang digital negara kekal selamat, beretika dan selari dengan undang-undang,” katanya. – UTUSAN