KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya mendapatkan penghakiman ingkar terhadap pentadbir ‘Edisi Siasat’ dan ‘Edisi Khas’ berhubung penyebaran dan penerbitan 33 artikel yang memudaratkan orang awam.
Penghakiman ingkar ialah keputusan mahkamah yang diberikan secara automatik terhadap pemohon apabila satu pihak lagi gagal mengambil langkah sewajarnya dalam prosiding tanpa perlu melalui perbicaraan penuh.
Peguam Wong Guo Jin yang mewakili MCMC ketika ditemui memberitahu, Hakim Mahazan Mat Taib membenarkan permohonan itu selepas defendan gagal memasukkan memorandum kehadiran untuk menjawab tuntutan saman berkenaan pada tarikh yang ditetapkan iaitu pada 10 dan 24 September lalu.
“Bagaimanapun, ganti rugi am dan ganti rugi teladan akan ditaksir kemudian oleh mahkamah,” kata peguam itu ketika ditemui media selepas tamat prosiding tersebut.
Tambah peguam itu, mahkamah pada hari ini turut mengeluarkan deklarasi bahawa pentadbir ‘Edisi Siasat’ dan ‘Edisi Khas’ telah membenarkan, memudahkan dan merelakan penggunaan saluran itu untuk menerbit dan mengedarkan kandungan yang memudaratkan serta memfitnah.
Mahkamah turut mengeluarkan perintah injunksi mandatori yang memaksa kedua-dua pentadbir untuk menghapuskan semua bahan palsu, mengancam dan menyinggung perasaan tersebut daripada saluran berkenaan.
Mahkamah juga mengeluarkan perintah injunksi terhadap pentadbir ‘Edisi Siasat’ dan ‘Edisi Khas’ daripada menerbit semula, menyebarkan atau menyiarkan apa-apa kandungan palsu atau memudaratkan yang serupa pada masa hadapan.
Pada 21 Mei, MCMC telah memfailkan writ saman melalui firma guaman S.N. Nair & Partners dengan menamakan individu yang tidak dikenali (Pentadbir Saluran Telegram Edisi Siasat dan Edisi Khas) serta Telegram Messenger Inc. sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 27 November ini berkait penghakiman ingkar terhadap Telegram Messenger Inc.
Sementara itu, seorang lagi peguam mewakili MCMC, Datuk Sankara Nair dalam satu kenyataan media memberitahu, keputusan Mahkamah hari ini merupakan langkah penting dalam membendung penyalahgunaan platform dalam talian tanpa nama untuk menyebarkan maklumat palsu, intimidasi dan tuduhan berniat jahat.
“Perintah Mahkamah Tinggi mencerminkan betapa seriusnya usaha badan kehakiman Malaysia dalam membendung penyalahgunaan saluran komunikasi digital dan kemudaratan yang ditimbulkannya kepada individu serta institusi awam.
“Walaupun pentadbir saluran-saluran tersebut masih tidak dikenal pasti, keputusan hari ini menegaskan bahawa individu yang berselindung di sebalik ketanpanamaan (anonymity) dalam talian tidak melindungi pelaku daripada undang-undang.
“Perintah yang diperoleh memperkasa MCMC untuk meneruskan usaha penguatkuasaannya, dan mengekalkan hak MCMC untuk mendapatkan semula semua ganti rugi serta kos guaman sekiranya identiti individu di sebalik saluran-saluran ini dikenal pasti pada masa hadapan,” katanya.
Menurut writ yang difailkan, MCMC antara lain memohon perisytiharan bahawa Telegram Messenger Inc telah membantu, bersubahat, memudahkan dan menyumbang kepada penerbitan dan pengedaran kandungan berkenaan oleh kedua-dua pentadbir terbabit apabila tidak memadamkan saluran berkenaan apabila diarahkan secara statutori.
Sehubungan itu, MCMC memohon perisytiharan bahawa tindakan itu telah melanggar peruntukan Seksyen 73(1)(a) dan Seksyen 263(2) Akta Komunikasi Dan Multimedia (AKM) 1998.
Pada Jun lalu, MCMC melalui kenyataan media berkata, ia telah mengambil langkah tegas dengan memfailkan tindakan sivil terhadap dua saluran di platform Telegram, iaitu Edisi Siasat dan Edisi Khas.
MCMC berkata, tindakan itu adalah yang pertama seumpamanya diambil terhadap penyedia platform media sosial, khususnya kerana Telegram pemegang lesen Perkhidmatan Aplikasi (Kelas) [ASP(C)].
Ia susulan kegagalan serius Telegram untuk menangani kandungan yang telah berulang kali dilaporkan kepada pihak mereka, walaupun pelbagai usaha rundingan dan kerjasama dilakukan oleh MCMC.
Kedua-dua saluran berkenaan dikenal pasti menyebarkan kandungan yang melanggar peruntukan di bawah AKM 1998, yang berpotensi menghakis kepercayaan terhadap institusi awam serta menjejaskan ketenteraman masyarakat.
MCMC berkata, oleh kerana tahap pematuhan yang tidak memuaskan, ia berjaya memperoleh perintah injunksi interim daripada Mahkamah Tinggi sebagai langkah terakhir bagi menghentikan penyebaran kandungan memudaratkan dan menghalang penerbitan semula kandungan seumpamanya. – UTUSAN










