PETALING JAYA: Pihak pembelaan kes Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, setakat ini belum menerima maklum balas daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung laporan dibuat terhadap Edisi Siasat yang menyebarkan maklumat didakwa berkaitan kematian kanak-kanak autisme itu.
Peguam, Fahmi Abd. Moin berkata, akaun Telegram yang menggunakan nama Edisi Siasat telah memuat naik kandungan didakwa bahan bukti berhubung kematian Zayn Rayyan.
“Sehingga kini belum ada maklum balas daripada PDRM berkaitan laporan polis dibuat sama ada siasatan dibuka, atau siasatan dilanjutkan ke Jabatan Peguam Negara, kami tak ada maklumat.
“Kami baru sahaja terima gambar bedah siasat (Zayn Rayyan) hari ini dan akan berbincang dengan anak guam serta keluarga sama ada akan buat laporan kedua berkaitan gambar itu sama ada benar atau tidak,” katanya kepada pemberita di pekarangan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya di sini hari ini.
Kata beliau, sama ada benar atau sebaliknya, ia tidak dapat disahkan hari ini.
Pada 14 Jun lalu, keluarga Zayn Rayyan membuat laporan polis berhubung kandungan siasatan yang tular di akaun Telegram kononnya pembunuhan itu dilakukan ibu bapa kepada kanak-kanak autisme itu.
Akaun tersebut memuat naik laporan didakwa kronologi kes serta beberapa gambar dikatakan hasil bedah siasatan ke atas jenazah Zayn Rayyan.
Dalam pada itu, Fahmi turut memaklumkan pihaknya akan hadir semula ke mahkamah pada 18 September bagi tujuan pengurusan kes.
Katanya, sebutan kali kedua itu ditetapkan untuk pihak timbalan pendakwa raya menyerahkan dokumen berkaitan perbicaraan di bawah Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.
“Pihak kami terima sebahagian dokumen untuk bicara kelah, namun ada dua dokumen belum diserah iaitu laporan bedah siasat dan salinan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) oleh pihak pendakwaan.
“Atas sebab dan alasan itu, pihak pendakwaan memohon satu tarikh lanjut untuk serahan dokumen pada 18 September depan,” katanya.
LATAR BELAKANG KES
Terdahulu, Zaim Ikhwan dan Ismanira hadir ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya di sini bagi mendengar prosiding sebutan terhadap kedua-dua ibu bapanya, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, pagi ini.
13 Jun lalu, Zaim Ikhwan (tertuduh pertama) dan Ismanira (tertuduh kedua) didakwa bersama-sama atas pertuduhan mengabaikan Zayn Rayyan, 6.
Pasangan itu dikehendaki hadir di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bagi sebutan kes untuk status penyerahan dokumen pihak pendakwaan kepada pasukan pembelaan.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada pukul 10 malam. – UTUSAN










