PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperoleh Injunksi Erinford daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menghalang penyiaran kandungan memudaratkan di platform Telegram termasuk saluran Edisi Siasat dan Edisi Khas.
Perintah itu diberikan susulan tindakan sivil difailkan MCMC terhadap platform berkenaan sementara menunggu pendengaran rayuan interlokutori suruhanjaya itu di Mahkamah Rayuan.
MCMC berkata, keputusan tersebut merupakan langkah penting dalam memastikan keselamatan ekosistem digital negara serta melindungi kepentingan awam daripada ancaman kandungan yang boleh menjejaskan ketenteraman dan keyakinan masyarakat terhadap institusi negara.
“Melalui perintah ini, mahkamah membenarkan Injunksi Erinford bagi menghalang penyiaran kandungan memudaratkan seperti dinyatakan dalam Pernyataan Tuntutan MCMC, termasuk apa-apa kandungan lain yang mempunyai ciri atau kesan serupa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahkamah juga memerintahkan penutupan sepenuhnya saluran Edisi Siasat dan Edisi Khas, selain mana-mana saluran lain di platform sama yang mempamerkan kandungan atau modus operandi serupa.
Menurut MCMCM, perintah itu bertujuan membendung penyebaran maklumat palsu, mengelirukan dan menghasut yang boleh menggugat institusi negara serta ketenteraman awam.
“Mahkamah dalam keputusannya turut menegaskan kepentingan awam mengatasi kepentingan peribadi dengan keseimbangan keadilan memihak kepada MCMC kerana kemudaratan terhadap Telegram adalah minimum berbanding risiko kepada negara sekiranya kandungan sedemikian terus disiarkan.
“Selain itu, mahkamah mengingatkan penyedia platform luar negara seperti Telegram agar sentiasa peka dan menghormati konteks sosial, budaya dan perlembagaan Malaysia dalam memastikan keselamatan serta ketenteraman pengguna tempatan,” katanya. – UTUSAN










