Sistem Kejara gagal, perlu rombakan besar-besaran - Anthony Loke

Sistem Kejara gagal, perlu rombakan besar-besaran – Anthony Loke

ANTHONY Loke Siew Fook  pada sidang akhbar Majlis Perasmian Penggunaan Peranti Kawalan Had laju (SLD) Bagi Kenderaan Perdagangan di Shah Alam hari ini. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sistem Kesalahan Jalan Raya (Kejara) yang dilaksanakan sejak 2017 perlu dirombak secara besar-besaran selepas gagal dan tidak efektif sama sekali bagi menilai dan mendisiplinkan pemandu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kegagalan utama meliputi kaedah yang digunakan bagi sistem pemberian mata demerit kesalahan ke atas pesalah trafik.

Tegas beliau, kiraan demerit Kejara hanya berkuat kuasa selepas individu itu melunaskan saman atau didakwa di mahkamah dan bukannya ketika melakukan kesalahan berkenaan.

“Masalah utama yang dihadapi kini adalah ramai pesalah tidak membayar saman itu mencecah jutaan ringgit dan ribuan kes di mahkamah.

“Oleh itu saya secara terbuka menganggap sistem itu bukan saja langsung tidak efektif malah gagal dan perlu dirombak,” katanya pada sidang akhbar Majlis Perasmian Penggunaan Peranti Kawalan Had laju (SLD) Bagi Kenderaan Perdagangan di sini hari ini.

Kelmarin melaporkan pelaksanaan Kejara bagi menilai dan mendisiplinkan pemandu melalui pengumpulan mata demerit didakwa tidak berkesan kerana pelaksanaan hukuman bergantung sepenuhnya kepada bayaran kompaun atau keputusan mahkamah.

 Kelemahan sistem itu didakwa gagal mengenakan tindakan terhadap pemandu yang mempunyai banyak rekod kesalahan lampau termasuk memandu melebihi had laju.

 Contoh kajian kes menunjukkan seorang pemandu bas terlibat dalam kemalangan maut didapati mempunyai 18 saman termasuk 13 kesalahan pandu melebihi had laju sepatutnya mengumpul sekurang-kurangnya 52 mata demerit.

Namun, tiada tindakan dikenakan kerana prosedur Kejara hanya membenarkan mata demerit diberikan selepas kompaun dijelaskan atau kes disabitkan oleh mahkamah.

Mengulas lanjut, kata Anthony Loke, sistem itu masih diteruskan namun akan dirombak secara terperinci.

 “Ya, ia (Kejara) masih aktif dan kita sedang melihat pendekatan yang akan digunakan dalam rombakan itu.

“Saya tidak boleh memberi jawapan ketika ini dan kita kena melalui proses untuk melihat soal perundangan, punca dan bagaimana ia lebih efektif,” ujarnya.

Berdasarkan sistem Kejara, kiraan mata demerit tidak bermula ketika Orang Kena Saman (OKS) menerima notis saman dari JPJ atau polis.

Namun, ia bermula apabila OKS membayar kompaun atau denda bagi kesalahan yang tersenarai di dalam Jadual Kesalahan Mata Demerit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN