Wajibkan majikan sedia dua pemandu

Wajibkan majikan sedia dua pemandu

KERAJAAN disaran mewajibkan syarikat logistik menyediakan dua pemandu bagi perjalanan merentas negeri dalam memastikan pemandu mendapat rehat mencukupi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan mesti mewajibkan syarikat logistik atau kenderaan berat menyediakan dua orang pemandu bagi perjalanan yang merentas negeri.

Langkah itu membolehkan pemandu memperoleh rehat mencukupi sebelum melakukan perjalanan dan mengelakkan mereka mengambil dadah dengan alasan tahan mengantuk atau tertidur.

Ahli Jawatankuasa Tertinggi Persatuan Pemandu Lori dan Bas Malaysia, Hairi Md. Ali berkata, penggunaan dadah dalam kala­ngan pemandu sudah berlaku sejak dahulu dan sudah tiba masa untuk ia diselesaikan.

Dadah sering digunakan pemandu kenderaan berat adalah pil kuda dan syabu atau sering dikenali sebagai ‘ais’ yang dikatakan membantu memperoleh tenaga dan tidak mengantuk semasa melakukan perjalanan jauh.

“Biasanya pemandu akan ambil pil kuda kerana mereka mahu menahan diri daripada mengantuk atau tertidur semasa sedang memandu ke destinasi yang jauh. Ada juga ambil dadah untuk membolehkan mereka memandu melebihi 24 jam.

“Dahulu atau syarikat-syarikat lama, mereka akan sediakan dua pemandu apabila melakukan perjalanan outstation atau meren­tas negeri, ini membolehkan pemandu yang penat boleh berehat dan mengganti pemandu lain, dengan cara ini jadual perjalanan tidak akan terjejas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini melaporkan, semua syarikat pengendali kenderaan berat mesti mengambil tanggungja­wab dengan menyediakan me­kanisme pemantauan bagi me­mas­tikan pemandu mereka be­­bas­ daripada pengaruh dan pe­nya­lahgunaan dadah.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, tanggungjawab itu tidak boleh diletakkan sepenuhnya kepada penguat kuasa semata-mata ke­rana ia memerlukan peranan dan kerjasama semua pihak.

Menurutnya, isu penyalahgu­naan dadah dalam kalangan pe­mandu kenderaan berat me­rupakan ancaman besar kepada keselamatan jalan raya dan perlu ditangani bagi mengelak kemalangan serius serta meragut nyawa pengguna lain.

Hairi berkata, kerajaan perlu menetapkan semua syarikat logistik menyediakan pemandu simpanan untuk perjalanan jauh dan mengelakkan pemandu daripada mengejar upah perjalanan melalui penetapan gaji asas.

“Sistem syarikat itu perlu diperbetulkan, pemandu tidak mendapat rehat mencukupi. Siang mereka bekerja, petang memasukkan barangan dalam gerabak dan malam pula memulakan perjalanan, pemandu tiada waktu untuk rehat,” katanya.

Mengenai kenyataan Anthony Loke, katanya, langkah itu tepat dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

“Syarikat perlu melakukan tapisan awal semasa pengambilan pemandu, lakukan ujian saringan air kencing terlebih dahulu sebelum mengambil mereka bekerja.

“Selain itu, tetapkan setiap tiga bulan untuk melakukan ujian saringan semula bagi memastikan pemandu bebas dari penyalahgunaan dadah. Ini melibatkan orang ramai dan tidak boleh dikompromi, walaupun pemandu mengambil dadah itu untuk bekerja, mereka akan tetap berhalusinasi. Kadang-kadang ada kereta pun mereka nampak seperti tiada kenderaan lain,” katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan memperbanyakkan tempat rehat untuk kenderaan berat di seluruh lebuh raya Malaysia.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN