Gangguan seksual: Lesen PSV pemandu e-hailing dibatal serta-merta

Gangguan seksual: Lesen PSV pemandu e-hailing dibatal serta-merta

ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diarah membatalkan Lesen Perkhidmatan Kenderaan Awam (PSV) seorang pemandu e-hailing serta-merta susulan insiden gangguan seksual ke atas penumpang di Johor Bahru.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, tindakan pembatalan PSV itu bermaksud pemandu terbabit tidak lagi dibenarkan berkhidmat di mana-mana platform e-hailing, sekali gus memastikan keselamatan penumpang terus terjamin.

Katanya, Kementerian Pengangkutan (MOT) memandang serius insiden gangguan seksual yang dilakukan oleh seorang pemandu Grab ke atas penumpang di Johor Bahru.

“MOT melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga akan memanggil semua pengendali e-hailing termasuk Grab untuk membentangkan pelan tindakan penambahbaikan bagi meningkatkan keselamatan penumpang.

“Selain itu, MOT tidak akan bertoleransi terhadap sebarang tingkah laku yang mengancam keselamatan penumpang dan akan menyokong mangsa bagi memastikan tindakan polis diambil terhadap pelaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, insiden itu menunjukkan keperluan penguatkuasaan lebih tegas terhadap pemandu e-hailing demi melindungi orang ramai.

Sebelum ini, berdasarkan rakaman video yang tular di media sosial, pemandu Grab berkenaan dilihat menghulurkan tangan ke belakang untuk menyentuh wanita itu, namun cubaan itu ditepis.

Lelaki berkenaan juga dilihat bertanya mengenai umur penumpang wanita itu dan menyebut ‘berapa harganya’ dalam bahasa Mandarin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN