KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan sebanyak 12,600 tiket tambahan bagi perkhidmatan tren elektrik tambahan (ETS) sektor KL Sentral–JB Sentral–KL Sentral sempena sambutan Tahun Baru Cina.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, tiket tambahan berkenaan akan mula dijual esok bermula pukul 12.15 tengah malam menggunakan set ETS3 ketujuh yang baru diluluskan.
Katanya, sehingga 10 Februari 2026, 100 peratus tiket ETS bagi tempoh 13 Februari hingga 22 Februari 2026 telah habis dijual bersamaan 131,879 tempat duduk.
“KTMB juga telah menambah 26,460 tiket lagi untuk tempoh sama, semuanya habis terjual. Sukacita saya umumkan di sini juga sebanyak 12,600 tiket tambahan lagi bagi sektor KL Sentral–JB Sentral–KL Sentral.
“Selaras dengan hala tuju Kementerian Pengangkutan untuk mencari pendekatan inovatif bagi memaksimumkan penggunaan aset kereta api, KTMB buat pertama kali akan memperkenalkan perkhidmatan EMU Plus untuk Tahun Baru Cina.
“Secara keseluruhan, KTMB menyediakan 46,404 tiket tambahan untuk Tahun Baru Cina 2026, iaitu peningkatan 426 peratus berbanding tahun lalu (8,820 tiket) hasil daripada penambahan tujuh set ETS3 dan pengoperasian ETS hampir 24 jam sepanjang tempoh perayaan,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) mengenai status penjualan serta jumlah tiket tambahan perkhidmatan ETS dan Ekspres Timuran sempena perayaan Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri.
Anthony Loke berkata, perkhidmatan EMU Plus yang akan beroperasi dari 13 hingga 15 Februari dan 20 hingga 22 Februari 2026 membolehkan KTMB menyediakan 7,344 tempat duduk tambahan.
Katanya, setakat 10 Februari, sebanyak 3,157 tiket atau 43 peratus daripada tempat duduk tambahan telah direkodkan.
“KTMB turut memobilisasikan Six Car Set (SCS) bagi laluan KL Sentral-Ipoh-KL Sentral yang membolehkan tambahan 24 trip semasa musim perayaan,” katanya.
Tambah beliau, bagi perayaan Hari Raya Aidilfitri pula, sehingga 10 Februari 2026, KTMB merekodkan jualan tiket ETS sebanyak 118,823.
“Ia bersamaan 53 peratus daripada 224,196 tempat duduk yang ditawarkan bagi tempoh 13 hingga 29 Mac 2026.
“Penjualan tiket tambahan Hari Raya Aidilfitri akan diumumkan selepas tiket sedia ada habis terjual,” katanya. – UTUSAN










