RM135 juta bina pusat pemindahan bencana

RM135 juta bina pusat pemindahan bencana

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak RM135 juta dibelanjakan bagi membina pusat pemindahan kekal bencana (PPKB) yang berfungsi sebagai tempat perlindungan kepada penduduk berisiko tinggi terdedah kepada bencana seperti banjir.

Projek rintis sebelum ini dilaporkan melibatkan sekolah-sekolah di kawasan berisiko tinggi di sembilan negeri iaitu Kelantan, Johor, Pahang, Terengganu, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Sarawak dan Sabah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid HamidiAhmad Zahid Hamidi berkata, jumlah RM135 juta itu dibelanjakan untuk menentukan kawasan-kawasan persekitaran sekolah yang sering mengalami banjir.

Katanya, ia juga bagi membina dewan-dewan yang boleh digunakan sebagai PPKB dilengkapi dengan kemudahan asas seperti tandas, tempat masak dan keperluan lain.

“Kita rasakan bahawa di sekolah yang digunakan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) itu tidak adil untuk sekolah itu kerana terpaksa membelanjakan satu jumlah yang besar juga bagi memperbaiki kerosakan-kerosakan yang berlaku selepas banjir,” katanya kepada pemberita di London, United Kingdom (UK).

Ahmad Zahid berkata, kerajaan juga meningkatkan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada waktu bencana.

Jelasnya, sukarelawan-sukarelawan akan berada di PPS terutama sekolah bagi membantu pelajar yang terkesan.

“Keterlibatan mereka berjumlah tidak kurang daripada 44,000 dan ini saya maklumkan kepada persidangan (sesi Meja Bulat Menteri sempena Platform Global untuk Pengurangan Risiko Bencana) bahawa usaha-usaha yang dilakukan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Selain daripada mengikut Kerangka Kerja Sendai untuk Pengurangan Risiko Bencana 2015-2030, kita juga mempunyai dasar khusus bagi menangani masalah bencana ini iaitu dasar yang terpakai hingga 2030 juga.

“Dalam hal ini, kesiapsiagaan kita di bawah Nadma memperlihatkan bahawa kita sangat komited bukan sahaja apabila berlaku Monsun Timur Laut, khususnya di kawasan Pantai Timur dan juga kawasan utara di Semenanjung serta beberapa tempat di Sabah dan Sarawak,” jelasnya.

Mengulas mengenai musim Monsun Barat Daya yang sedang melanda Malaysia, Ahmad Zahid berkata, perancangan sudah dilakukan sekiranya berlaku sebarang kebakaran di kawasan-kawasan kering berpunca daripada cuaca panas.

“Kita juga mempunyai tube well (telaga tiub) yang kita gunakan dan disediakan oleh jawatankuasa bencana di peringkat negeri serta daerah. Jadi kesiapsiagaan itu kita gunakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN