Qabil Irfan selesa ungguli carta ESBK Talent

Qabil Irfan selesa ungguli carta ESBK Talent

Qabil Irfan muncul selaku naib juara dalam perlumbaan 1 dan 2 bagi kategori ESBK Talent pada Kejuaraan Superbike Sepanyol 2025 di Litar Motorland Aragon, Sepanyol, semalam. - Ihsan SIC Racing
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelumba cilik negara, Qabil Irfan Azlan kini mengungguli carta kategori ESBK Talent selepas mengumpul 135 mata daripada enam perlumbaan pada Kejuaraan Superbike Sepanyol 2025.

Qabil Irfan kini memiliki kelebihan 43 mata di hadapan pencabar terdekatnya, Izan Rodriguez dari Sepanyol yang mengutip 92 mata dan pelumba Switzerland, Alessio Arnold di tempat ketiga dengan 82 mata.

Prestasi konsisten yang dipamerkan dalam dua perlumbaan pusingan ketiga di Litar Motorland Aragon, Sepanyol, semalam telah membuka laluan kepada pelumba berusia 13 tahun itu semakin mengukuhkan cengkamannya di tangga teratas carta.

Pada pusingan ketiga itu menyaksikan dua perlumbaan yang perlu dilengkapkan Qabil Irfan berkesudahan dengan anak jati Terengganu tersebut muncul sebagai naib juara.

Dalam perlumbaan 1, Qabil Irfan menamatkan saingan di belakang Enzo Zaragoza dari Sepanyol yang melakar masa terpantas 22 minit 59.469 saat (s), manakala, pelumba negara itu hanya ketinggalan 0.062s menerusi catatan masa 22:59.531s.

Tempat ketiga pula menjadi milik Rodriguez yang mewakili pasukan ETG Racing menerusi mencatat masa 22:59.589s dalam perlumbaan 11 pusingan itu.

Qabil Irfan yang bernaung di bawah pasukan Frando Racing VHC Team Luqui Moly, sekali lagi terpaksa berpuas hati menamatkan aksinya selaku naib juara dengan lakaran masa 22:54.670s pada perlumbaan 2.

Arnold dari pasukan Moto Squadra Corse mengungguli aksi dengan catatan masa terpantas 22:54.642s dan Zaragoza yang mewakili pasukan KSB Technical Academy di kedudukan ketiga selepas mencipta masa 22:54.769s.

Qabil Irfan berkata, dia menerima tentangan yang cukup sengit daripada pesaing-pesaingnya dalam perlumbaan 1 dan 2 sehingga menyukarkannya untuk menjarakkan kedudukan.

“Dalam perlumbaan 1, saya cuba untuk memacu laju jentera bagi menjarakkan diri dengan pelumba lain, tetapi, tidak berjaya, saya perasan kumpulan kedua semakin hampir.

“Strategi saya ialah untuk mendahului di pusingan terakhir dan cuba menjarakkan diri, tetapi saya dipintas di laluan lurus sebelum garisan penamat,” katanya ketika ditemu bual, semalam.

Mengulas lanjut mengenai perlumbaan 2 pula, Qabil Irfan berkata, saingan tersebut agak mencabar kerana terlalu ramai pelumba dalam kelompok hadapan.

“Saya cuba kekalkan kelajuan untuk terus berada dalam kumpulan dan strategi saya ialah untuk menyerang di pusingan terakhir.

“Saya hampir menang, tetapi Alessio berjaya memintas saya sebelum garisan penamat,” katanya yang turut berterima kasih kepada seniornya, Hakim Danish Ramli yang sudi meluangkan masa membantu menyusun strategi untuk aksi di Aragon. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN