Penyokong mula 'hangatkan' Stadium Nasional Bukit Jalil

Penyokong mula ‘hangatkan’ Stadium Nasional Bukit Jalil

SEBAHAGIAN penyokong Harimau Malaya dan Vietnam bergambar di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menonton perlawanan antara Malaysia menentang Vietnam, malam ini.-UTUSAN/IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Walaupun perlawanan berlangsung pada hari bekerja namun itu tidak menghalang puluhan ribu penyokong Harimau Malaya untuk turun menyaksikan perlawanan antara Malaysia menentang Vietnam, malam ini.

Perlawanan kedua Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 sangat penting buat skuad kendalian Peter Cklamovski mengutip tiga mata sekali gus mencerahkan peluang mara ke kejohanan berprestij Asia itu.

Tinjauan Utusan Malaysia sekitar jam 6 petang di Stadium Nasional Bukit Jalil mendapati penyokong-penyokong sudah mula membanjiri perkarangan stadium meskipun sepak mula perlawanan bermula jam 9 malam.

Suasana persekitaran mula dipenuhi penyokong-penyokong Malaysia yang memakai baju kuning dan hitam.

Dalam masa sama, penyokong Vietnam juga tidak terlepas untuk hadir memberi sokongan kepada pasukan mereka.

Dijangka lebih 60,000 penyokong bakal hadir menyaksikan pertembungan Malaysia dan Vietnam walaupun lapan jam lalu Persatuan Bolasepak Malaysia mengumumkan 45,629 tiket telah terjual.

Seorang penyokong Harimau Malaya, Hafiz Hashim, 38, menjadi antara penyokong yang sanggup ‘berkorban’ untuk hadir menyaksikan perlawanan walaupun baru pulang bekerja.

“Saya memang bekerja hari ini tetapi disebabkan mahu memberi sokongan, saya tetap hadir menyaksikan perlawanan ini.

“Bagi saya, kehadiran penyokong amat penting sebagai pemain ke-12 kerana pemain negara pasti memerlukan sokongan kami.

“Saya harap pemain dapat memberikan persembahan terbaik dan saya optimis pasukan negara dapat meraih kemenangan,” katanya.

Sementara itu, Emylya Shazlyn,26, berharap kemenangan akan berpihak kepada pasukan kebangsaan dan menjangkakan Malaysia mampu menjaringkan banyak gol terutama dengan kehadiran pemain-pemain warisan.

“Tentunya nak Malaysia menang dengan gol yang banyak kalau boleh dua gol ke atas. Kehadiran pemain-pemain warisan diharap mampu membantu Malaysia menang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN