KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan mampu mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 tanpa tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada campuran tenaga negara.
Timbalan Menteri Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, pihaknya sudah pun mempunyai perancangan jangka panjang berkaitan tenaga nuklear, namun keputusan muktamad tertakluk kepada dasar kerajaan dan penerimaan semua pihak.
Katanya lagi, meskipun tenaga nuklear tidak dikategorikan sebagai tenaga boleh diperbaharui, namun ia merupakan pengeluar tenaga bersih dari segi pelepasan karbon.
“Kalau ditanya pandangan saya, tanpa nuklear, kita tidak akan capai sasaran pelepasan karbon sifar bersih pada 2050. Ini adalah satu realiti yang perlu kita hadapi bersama,” katanya dalam forum ‘Menjayakan Peralihan Tenaga Malaysia’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.
Beliau dalam masa yang sama turut menegaskan bahawa pelaksanaan tenaga nuklear memerlukan konsensus daripada semua pihak, bukan sekadar keputusan peringkat kerajaan.
“Kita boleh buat perancangan, tetapi pada akhirnya, ia mesti datang bersama kefahaman dan kesediaan rakyat untuk menerima tenaga nuklear sebagai langkah ke hadapan,” ujarnya lagi.
Mengulas lanjut mengenai permintaan berkaitan tenaga yang semakin meningkat, jelasnya lagi perbincangan mengenai perkara itu perlu dimulakan dalam masa terdekat kerana ia memerlukan pendekatan pragmatik dan secara holistik.
“Isu ini tidak boleh ditangguh lagi. Jika kita benar-benar serius mahu mencapai pelepasan karbon sifar bersih 2050, sudah tiba masanya untuk memulakan perbincangan nasional mengenai tenaga nuklear.” ujarnya.
Dalam forum yang sama, cadangan Timbalan Menteri itu turut disokong Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dengan menggesa semua pihak tidak menolak penggunaan teknologi baharu kerana meskipun belum dilaksanakan di Malaysia, namun sudah pun terbukti di peringkat global.
“Teknologi seperti tenaga nuklear mungkin baharu bagi Malaysia, tetapi ia bukan sesuatu yang baharu di dunia. Jika ia boleh menyumbang kepada kestabilan tenaga serantau, maka kita perlu terbuka untuk mempertimbangkannya.
Katanya lagi, penempatan teknologi nuklear itu boleh dilakukan di mana-mana lokasi dalam rantau ASEAN, asalkan memberi manfaat secara menyeluruh kepada semua pihak. – UTUSAN