KUALA LUMPUR: Wujud keperluan mempertimbangkan penggunaan Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI) bagi mengukur tahap kemiskinan secara lebih menyeluruh melebihi faktor pendapatan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, tahap kemiskinan ketika ini hanya diukur berdasarkan pendapatan untuk dibelanjakan, namun perlu dilihat dalam konteks lebih luas
“Jika kita nak lakukan perkara ini, ada beberapa perkara besar yang perlu dilaksanakan. Contohnya, adakan libat urus dengan pihak berkepentingan untuk kita fahami kerana angka itu akan berbeza dengan pemahaman kita selama ini.
“Kita perlu melihat bagaimana ia boleh berlaku adil dalam usaha kerajaan untuk memastikan tiada yang tertinggal jauh dari segi kekayaan atau perkembangan pembangunan negara. Jadi, ia memerlukan usaha semua pihak, bukan satu pihak saja,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Ekonomi di Dewan Rakyat hari ini.
Berdasarkan Tinjauan Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2024, Akmal Nasrullah berkata, insiden kemiskinan mutlak di peringkat nasional adalah 5.1 peratus merangkumi 416,500 isi rumah, manakala bagi kemiskian tegar adalah 0.09 peratu meliputi 7,200 isi rumah.
“Cabaran yang kita hadapi ialah berlakunya perubahan kedudukan golongan miskin tegar apabila ada yang keluar daripada julat berkenaan, manakala sebahagian yang lain pula masuk ke dalam julat tersebut ketika RMK13 dibentangkan.
“Saya lebih gemar menilai dari sudut MPI kerana ia tidak tertumpu kepada jumlah perbelanjaan semata-mata, sebaliknya menilai sama ada mereka mempunyai tempat tinggal yang munasabah atau keperluan lain yang tidak melibatkan wang,” katanya.
Katanya, kerajaan terus menumpukan kepada usaha menoktahkan kemiskinan tegar serta merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar bagi membela nasib rakyat khususnya golongan rentan.
Ini termasuk usaha meningkatkan pendapatan dan taraf hidup golongan miskin melalui perluasan akses kepada perkhidmatan asas seperti pendidikan, kesihatan dan sokongan sosial. – UTUSAN










