KUALA LUMPUR: Kesuburan rakyat Malaysia menurun dengan mendadak menjelang 2050 sekaligus menyebabkan jumlah pekerja di negara ini semakin berkurang dan menjejaskan ekonomi.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, unjuran Penduduk Malaysia 2020 hingga 2060 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan Jumlah Kadar Kesuburan Malaysia telah menurun daripada 1.7 anak pada tahun 2023 kepada 1.6 anak pada tahun 2024 bagi setiap perempuan berumur 15 hingga 49 tahun.
“Kadar kesuburan ini diunjurkan terus menurun dengan ketara dalam jangka panjang kepada 0.7 anak pada 2050,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab Dr. Alias Razak (PN-Kuala Nerus) mengenai strategi kerajaan bagi menangani impak penurunan kadar kesuburan nasional terhadap unjuran ekonomi negara.
Akmal Nasrullah berkata, Malaysia sudah menjadi negara menua pada 2021 dan diunjurkan menjadi negara tua menjelang 2048.
Beliau berkata, penuaan negara itu berlaku berikutan perubahan demografi penduduk yang disumbangkan oleh peningkatan jangka hayat dan kemerosotan kadar kesuburan rakyat.
Akmal Nasrullah berkata, kerajaan sudah membangunkan Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan, 2025-2045 (NAB) yang menggariskan lima teras strategi dalam menangani masalah tersebut.
Beliau berkata, antaranya adalah ekonomi makro dan fiskal, pendidikan, kemahiran dan tenaga kerja, kesihatan sepanjang hayat, perlindungan sosial serta penjagaan jangka panjang.
“Fokus utama NAB juga telah diterjemahkan melalui strategi dan inisiatif khusus di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi mempersiapkan negara menghadapi cabaran penuaan penduduk.
“Antara strategi yang akan dilaksanakan adalah melalui keutamaan peningkatan produktiviti dan daya saing negara, persediaan menuju negara tua, reformasi pasaran buruh termasuklah meningkatkan penyertaan pekerja berusia, wanita dan orang kurang upaya (OKU),” katanya.
Ahli Parlimen Johor Bharu itu berkata, RMK13 juga memberi penekanan untuk meningkatkan kerencaman ekonomi antaranya melonjakan industri Pertumbuhan Tinggi, Nilai Tinggi (HGHV) dan sektor strategik berimpak tinggi, terutama di wilayah kurang membangun.
“Pendekatan ini akan dilaksanakan melalui pemerkasaan ekonomi digital, ekosistem halal, pelancongan lestari serta penerokaan bidang baharu seperti ekonomi hijau, ekonomi biru, ekonomi jingga.
“Pendekatan berasaskan wilayah akan diperkukuh dengan memanfaatkan potensi ekonomi setempat bagi menarik pelaburan berkualiti, sekali gus memperluas rantaian bekalan ke kawasan terpinggir dan mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dengan gaji kompetitif,” jelasnya,
Tambahnya, penekanan turut diberi kepada meningkatkan mobiliti sosial melalui reformasi pasaran buruh serta pengukuhan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Peranan agensi seperti Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW), Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) dan pemerkasaan sektor PMKS serta sektor ketiga akan dipergiat,” ujarnya. – UTUSAN










