New Zealand belasah Pakistan, pertahankan kejuaraan

New Zealand belasah Pakistan, pertahankan kejuaraan

NEW Zealand dinobatkan sebagai juara Piala Negara-Negara buat kali kedua berturut-turut selepas membelasah Pakistan 6-2 dalam aksi final kejohanan di Bukit Jalil, semalam. UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: New Zealand mempertahankan kejuaraan Piala Negara-Negara buat kali kedua berturut-turut selepas membelasah Pakistan 6-2 dalam aksi final kejohanan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, semalam.

Jurulatihnya, Greg Nicol mengakui berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan oleh pemainnya malah kejayaan tersebut menjadi pembakar semangat buat pasukan apabila mereka dijadual beraksi menentang Australia dalam Piala Oceania pada September ini, kelayakan ke Piala Dunia 2026.

“Permainan kami sangat menakjubkan. Kami bermain dengan agresif. Kami bermain dengan bersih malah kami langsung tidak memberi ruang dan peluang kepada Pakistan. Kami sangat gembira.

“Ya, kami akan pergi ke Piala Oceania menentang Australia pada September ini dan ia akan menjadi cabaran yang sangat baik untuk kami. Ia merupakan kelayakan Piala Dunia dan kemudian kami akan kembali ke sini bagi Piala Sultan Azlan Shah, November ini,” katanya.

Pada aksi tersebut, Scott Cosslett menjaringkan dua gol pada minit keenam dan ke-58 manakala Sam Hiha, Dylan Thomas, Sean Findlay, Scott Boyde masing-masing menjaringkan satu gol.

Dua gol Pakistan disumbangkan oleh Zikriya Hayat pada minit ke-36 dan Sufyan Khan seminit sebelum tamat permainan.

Sementara itu, tempat ketiga menjadi milik Perancis yang menewaskan Korea Selatan 3-2 menerusi penentuan penalti shoot-out selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3.

Sebagai rekod, New Zealand menjuarai Piala Negara-Negara pada edisi lalu selepas menewaskan Perancis 4-3 menerusi penalti shoot-out selepas seri 1-1. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN