LONDON: Pelumba Aprilia, Jorge Martin enggan mengulas lanjut mengenai masa depannya bersama pasukannya ketika acara All Stars pengeluar itu di Misano hujung minggu lalu, namun dia memberikan garis masa yang lebih jelas untuk kembali ke saingan MotoGP.
Juara dunia bertahan itu, yang tersisih sejak mengalami kecederaan terbaharu di Grand Prix (GP) Qatar, kini berada dalam kebuntuan kontrak dengan Aprilia berhubung ‘klausa keluar’ berkaitan prestasi untuk musim 2026.
“Kami masing-masing telah mengatakan apa yang perlu dikatakan, situasi ini akan selesai juga nanti.
“Saya telah memutuskan untuk menggunakan hak saya untuk melepaskan diri bagi musim 2026. Saya sentiasa terbuka untuk berdialog dengan Aprilia bagi melanjutkan tempoh ini kepada beberapa GP selepas saya kembali berlumba.
“Matlamatnya ialah agar kedua-dua pihak dapat memberi peluang kedua antara satu sama lain dan berasa selesa sebelum membuat keputusan untuk 2026,” kata Martin kepada Sky Italia.
Martin kembali menunggang di Misano dengan menggunakan motosikal Aprilia, penampilan pertamanya sejak kemalangan di Qatar.
Kepulangan dia ke jentera RS-GP dijangka berlaku dalam satu ujian tertutup, yang kini dibenarkan di bawah peraturan MotoGP yang telah dikemas kini.
“Ia satu saat yang rumit, tetapi sedikit demi sedikit saya mula nampak cahaya. Sebelum musim panas, saya akan menjalani ujian. Namun, saya hanya akan kembali berlumba apabila saya benar-benar 100 peratus cergas,” jelas Martin mengenai proses pemulihannya.
Aprilia meraih kemenangan pertamanya musim ini menerusi rakan sepasukan Martin, Marco Bezzecchi, pada perlumbaan terakhir di Silverstone. – AGENSI