Dalam kehidupan seharian, kita sering menganggap anak yang diam itu mudah dijaga kerana tidak banyak kerenah atau permintaan.
Namun, tidak semua begitu. Ada juga kanak-kanak yang diam kerana pelbagai sebab lain seperti pemalu, memendam emosi, mengalami masalah pertuturan, autisme atau kurang keyakinan diri.
Sikap diam ini boleh menjadi petunjuk penting terhadap keadaan emosi dan perkembangan anak yang perlu difahami oleh ibu bapa.
Pakar psikologi klinikal kanak-kanak dan Pengarah Urusan CPC International Psychologist Consultant, Hospital Pakar Salam Senawang, Dr. Noor Aishah Rosli berkata, tanggapan anak diam sebagai mudah dijaga tidak semestinya tepat kerana terdapat beberapa sebab di sebalik sikap tersebut.
“Kanak-kanak yang pendiam tidak semestinya mudah dijaga. Ada yang sememangnya pemalu, kurang keyakinan diri atau bersifat introvert. Ada pula yang sebelum ini aktif menjadi diam kerana memendam emosi dan tidak tahu bagaimana untuk meluahkan perasaannya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain itu, terdapat juga kemungkinan anak yang diam sebenarnya mengalami masalah pertuturan seperti speech delay atau gangguan seperti autisme.
“Terdapat kes apabila ibu bapa menganggap anak mereka mudah dijaga kerana tidak banyak kerenah dan hanya mengikut sahaja, tetapi selepas beberapa tahun barulah anak itu didiagnosis dengan autisme,” jelasnya.
Selain itu, kanak-kanak mungkin kelihatan diam kerana tahap kecerdasan rendah (low IQ) yang menyebabkan mereka sukar memberikan respons.
Kurang mahir luah emosi
Menurut Dr. Noor Aishah, terdapat juga kanak-kanak yang diam kerana tidak belajar untuk meluahkan emosi.
Mereka menyimpan perasaan seperti tidak suka, geram, kecewa atau takut tanpa meluahkannya.
Hal ini boleh berlaku kerana ibu bapa tidak membiasakan komunikasi emosi seperti bertanya tentang keadaan anak atau berkongsi perasaan sendiri, sebagai contoh.
Selain itu, ada kanak-kanak yang merasakan tidak selamat untuk berkongsi kerana bimbang tidak dipercayai.
Dalam situasi tertentu, anak lebih selesa berkongsi dengan pihak lain kerana merasakan ibu bapa tidak akan mempercayai mereka dan menganggap mereka mengada-adakan cerita.
Oleh itu, sikap diam ini sebenarnya merupakan satu bentuk komunikasi emosi secara non-verbal.
Kanak-kanak yang memendam emosi seperti takut, sedih, marah, cemas atau risau boleh menunjukkan perubahan tingkah laku seperti menjadi degil atau melawan tanpa sebab jelas.
Selain itu, mereka juga mungkin mengalami simptom fizikal seperti sakit perut dan kepala serta menunjukkan kecenderungan untuk tidak bersosial dan menjauhkan diri daripada orang lain.
beza anak pemalu dengan tekanan emosi
Kanak-kanak pemalu biasanya menunjukkan sifat tersebut sejak kecil, namun mereka masih mampu berinteraksi dengan selesa dan kelihatan gembira walaupun sedikit segan.
Sebaliknya, kanak-kanak yang mengalami tekanan emosi akan menunjukkan perubahan mendadak seperti daripada aktif dan ceria menjadi pendiam, tidak berminat menyertai aktiviti keluarga, mengelakkan interaksi sosial serta kelihatan murung.
Perbezaan ini dapat dilihat melalui ekspresi wajah dan tingkah laku.

Tanda awal
Tanda awal masalah emosi kanak-kanak termasuk air muka murung, sukar tidur, kurang selera makan, mengigau, sukar fokus, cepat letih, sering berkhayal, kurang motivasi dan lebih suka menyendiri di dalam bilik.
Selain itu, mereka cenderung merajuk berpanjangan, enggan menjawab pertanyaan, menangis secara tiba-tiba atau menjadi terlalu manja serta memerlukan perhatian berlebihan.
Mereka yang sebelum ini berdikari juga boleh berubah menjadi lebih bergantung kepada ibu bapa.
Terdapat juga kemungkinan mereka mengalami trauma, contohnya berkaitan kehilangan, serta menunjukkan sikap cepat marah, agresif, ganas, menggunakan kata-kata kesat atau bertindak balas secara berlebihan terhadap kesalahan kecil.
Peranan ibu bapa
Peranan ibu bapa sangat besar kerana mereka merupakan individu pertama yang dikenali oleh anak-anak.
Sikap kritikan berlebihan boleh menyebabkan anak hilang keyakinan diri dan mempunyai self-esteem rendah.
Oleh itu, ibu bapa perlu banyak berkomunikasi, memberi pujian walaupun terhadap perkara kecil serta menegur dengan cara berhemah.
Perbandingan dengan orang lain dan sikap memperlekehkan perlu dielakkan kerana boleh menyebabkan anak memberontak dan marah.
Sebaliknya, pujian dan penghargaan akan membuatkan anak berasa dihargai dan disayangi.
Cara bantu anak
Bagi membantu anak yang sukar meluahkan perasaan, ibu bapa disarankan agar tidak menggunakan pendekatan seperti menyiasat atau mendesak.
Sebaliknya, beri pilihan sama ada ingin berkongsi sekarang atau kemudian, dengan nada suara lembut dan meyakinkan.
Sikap tidak terlalu mengkritik sejak kecil akan membantu anak lebih terbuka dan mempercayai ibu bapa.
Pendekatan alternatif seperti melukis, menulis atau meluangkan masa bersama anak dalam suasana santai, contohnya keluar makan atau melakukan aktiviti bersama, dapat membantu anak berkongsi perasaan secara perlahan.
Kesilapan biasa ibu bapa
Mengulas tentang kesilapan biasa ibu bapa, antaranya membuat perbandingan antara anak dengan orang lain, melarang anak menangis serta memberi nasihat tanpa mendengar sepenuhnya cerita anak.
Menangis adalah satu daripada cara untuk mengurus emosi dan tidak seharusnya disekat kerana ia penting untuk perkembangan empati kanak-kanak.
Memaksa anak untuk bercakap boleh menyebabkan mereka berasa takut dan terancam, terutama jika perkara yang dialami adalah menyakitkan atau menakutkan.
Oleh itu, ibu bapa perlu bersabar dan menggunakan pendekatan lembut serta konsisten kerana proses untuk anak membuka diri mungkin mengambil masa.










