Qaswa House perkasa generasi Muslim Australia

Qaswa House perkasa generasi Muslim Australia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejak diasaskan oleh Azizi Khalid, Qaswa House terus muncul sebagai antara pusat pendidikan Islam paling aktif dan pesat berkembang di Perth, Australia.

Bermula secara rasmi pada 29 Ramadan 2021 (11 Mei) dan berpindah ke bangunan baharu pada Ogos 2023, institusi itu kini mempunyai 342 pelajar yang mengikuti pelbagai program pendidikan agama dan pembangunan karakter.

Perkembangan Qaswa House dicapai tanpa sebarang kutipan dana awam.

Operasinya dibiayai sepenuhnya melalui yuran pelajar, sekali gus mencerminkan pengurusan yang mantap dan kepercayaan tinggi masyarakat setempat.

“Permintaan terus meningkat, senarai menunggu cecah ratusan,” kata ketuanya, Azizi Khalid, 45.

PROGRAM PENDIDIKAN AGAMA
Populariti Qaswa House boleh dilihat melalui lebih 200 nama dalam senarai menunggu, termasuk lebih 100 pelajar sekolah menengah yang berharap dapat menyertai program mereka.

Profil pelajar di Qaswa House menunjukkan kepelbagaian dari segi usia, merangkumi 10 peratus kanak-kanak berumur antara dua hingga empat tahun, 58 peratus pelajar sekolah rendah berusia enam hingga 13 tahun, serta 32 peratus pelajar sekolah menengah dalam lingkungan umur 13 hingga 17 tahun.

Institusi ini juga berbangga dengan komuniti keluarga yang pelbagai, melibatkan 29 keluarga dengan latar belakang budaya dan bangsa berbeza.

Qaswa House menawarkan beberapa program pendidikan agama, antaranya Madrasah Qaswa, Qaswa Muqadam, Pengajian Islam dan Malam Sirah yang diadakan sekali sebulan pada setiap Sabtu minggu kedua bermula Mei depan.

Program Grounded (Teens) iaitu program asas Islam selama 10 minggu khusus untuk remaja, boleh diakses melalui www.grounded.day.

Program-program ini bukan sahaja memberi penekanan kepada ilmu agama, tetapi juga membina akhlak, keyakinan dan jati diri pelajar.

MASYARAKAT SETEMPAT
Dalam usaha untuk menggamit masyarakat setempat, Azizi berkata, Qaswa House juga menganjurkan tarawih, berbuka puasa dan sambutan Hari Raya Aidilfitri untuk masyarakat pelbagai budaya sepanjang Ramadan lalu.

Menurut Azizi, setiap tahun, program Ramadan with Qaswa yang dianjurkan meliputi termasuk pengagihan pakej Ramadan.

Katanya, satu pencapaian hebat Qaswa House ialah apabila 1,000 jemaah daripada pelbagai budaya dan negara hadir untuk menunaikan solat Aidilfitri pada hari raya pertama baru-baru ini.

Azizi menambah, Qaswa House bukan sekadar ibadah, tetapi turut menonjolkan keindahan kepelbagaian masyarakat Muslim setempat.

Antara pencapaian menggalakkan ialah program Tilawa-thon: Raise Reach for Sudan yang berjaya mengumpul 10,134 dolar hasil usaha 39 pelajar.

Menerusi program ini pelajar pusat ini membaca hafalan ayat al-Quran untuk mendapatkan sumbangan yang dikumpulkan untuk disalurkan kepada Sudan.

Program ini membuktikan pendidikan di Qaswa House turut menanamkan nilai kepedulian global.

Selain itu, kelahiran kumpulan muazzin kanak-kanak menjadi simbol pembentukan generasi muda yang celik agama dan berani berkhidmat untuk masyarakat.

Azizi berkata, Qaswa House juga mengadakan program seperti Satu Pendakian, Satu Hadis secara berkala dan Tafseer In The Bush.

Kedua-dua program ini bertujuan memperdalamkan ilmu hadis dan tafsir dalam kalangan golongan remaja.

RUJUKAN UTAMA
Dengan reputasi yang terus berkembang, Qaswa House kini menjadi rujukan utama dalam pendidikan Islam di rantau ini.

Komitmen institusi ini dalam menyediakan ruang pembelajaran berkualiti tanpa bergantung pada dana awam sekali gus menjadikannya model inspirasi kepada banyak organisasi lain.

Permintaan tinggi, program berkualiti dan sokongan masyarakat terus mengangkat Qaswa House sebagai sebuah institusi yang memainkan peranan penting dalam membentuk generasi Muslim masa depan di Australia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN