Malaysia terus jalin kerjasama ekonomi dengan negara kuasa dunia

Malaysia terus jalin kerjasama ekonomi dengan negara kuasa dunia

ANWAR Ibrahim menyampaikan ucap utama sempena Forum Nikkei Medini, Johor 2025 di Iskandar Puteri, Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Malaysia akan terus menjalin kerjasama ekonomi dengan negara-negara kuasa dunia walaupun negara berada dalam blok atau pakatan bertentangan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, itu merupakan hak Malaysia sebagai sebuah negara merdeka yang berasaskan perdagangan.

Bagaimanapun katanya, Malaysia juga akan kekal bersuara menentang kezaliman dunia khususnya melibatkan pergolakan antarabangsa.

“Tiada sesiapa boleh tentukan kerjasama kita sama ada dengan Amerika Syarikat (AS), China atau Jepun, ini kerana kita merupakan negara perdagangan.

“Namun begitu, walaupun kita negara kecil, kita tidak takut dan tidak akan berdiam diri dalam isu di Gaza, Ukraine mahupun di Iran ketika ini. Kita teguh menyokong keamanan dunia,” katanya dalam Forum Nikkei Medini Johor 2025 di sini hari ini.

Anwar berkata, sehingga kini 60 peratus produk semikonduktor serta sektor elektrik dan elektronik Malaysia dieksport ke AS.

“Jadi, walaupun berdepan tarif, kita perlu kekalkan kerjasama ekonomi kukuh dengan mereka.

“Sama juga dengan China, walaupun berdepan isu ketegangan Laut China Selatan, namun kita tetap berhubungan baik sehingga Presiden China, Xi Jinping dan Premier China, Li Qiang berkunjung ke negara ini,” katanya.

Mengulas selaku Pengerusi ASEAN, Anwar berkata, sebarang hubungan kerjasama perlu dibuat secara multilateral dan bukannya unilateral.

“Buktikan bahawa jika kita kekal berbaik dengan semua negara, kita dapat memanfaatkan hubungan tersebut dalam membangunkan potensi yang ada bukan sahaja untuk komuniti perniagaan, malah juga masyarakat setempat,” katanya.

Forum Nikkei Medini Johor yang berlangsung selama dua hari bermula semalam bertemakan ‘Menerajui Hab Inovasi Asia’ dan menghimpunkan lebih 800 peserta dan delegasi secara kehadiran fizikal mahupun dalam talian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN