Limpahan 'gelombang merah' rai Ex-TRW Treble

Limpahan ‘gelombang merah’ rai Ex-TRW Treble

PEMAIN Ex-TRW Treble 12 meraikan jaringan ketika berdepan Ex-Double Treble Kedah di Stadium Sultan Muhammad IV, kelmarin- IHSAN PUC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Barisan bekas pemain Kelantan yang kini lebih dikenali sebagai Ex-The Red Warriors Treble 2012 (Ex-TRW Treble 12) terus mencetus fenomena melalui siri perlawanan persahabatan amal yang menggamit ‘gelombang merah’ kembali membanjiri Stadium Sultan Muhammad IV, di sini.

Terbaharu, pertemuan dua pasukan yang pernah menjulang tiga piala, Ex-TRW Treble 12 melawan Ex-Double Treble Kedah, kelmarin berjaya menggamit kehadiran penyokong sehingga melebihi kapasiti tempat duduk stadium keramat pasukan Kelantan.

Lebih 20,000 penyokong hadir, bukan setakat memenuhi setiap inci tempat duduk sama ada di kawasan berbumbung atau terbuka, malahan melimpah sehingga ke kawasan trek stadium untuk menyaksikan aksi pasukan kesayangan mereka.

Boleh dikatakan fenomena yang tercetus melalui beberapa siri perlawanan persahabatan melibatkan Ex-TRW Treble sepanjang pra-musim Liga Malaysia (Liga M) ini bukan lagi tanda sokongan, malah telah menjadi satu manifestasi kerinduan penyokong kepada kegemilangan bola sepak Kelantan suatu ketika dahulu.

Apatah lagi dengan kehadiran ayam tambatan Kelantan suatu ketika dahulu, Mohamed Mahmoud Ghaddar yang menjaringkan dua gol pada minit ke-20 dan 63 di samping satu gol jaringan Khairul Izwan Rosli pada minit ke-48 bagi membantu kemenangan Ex-TRW Treble 12 3-0 ke atas Ex-Double Treble Kedah.

Detik kapten Ex-TRW Treble 12, Mohd. Badhri Radzi menjulang piala PUC Cup juga pasti mengimbau kenangan penyokong kepada setiap detik kejayaan pasukan yang pernah beberapa kali mengharumkan nama Kelantan di pentas Liga Malaysia (Liga M) berbelas tahun lalu.

Kehangatan suasana itu turut dirasai sendiri oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud dan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa yang turut berada di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, kelmarin.

Mohd. Nassuruddin mengakui suasana di stadium sungguh menggamit memori dan sangat luar biasa, tambahan pula dengan kehadiran bekas-bekas pemain lagenda seperti, Mohd. Badhri atau Piya, Mohammed Ghaddar, Indra Putra Mahayuddin dan ramai lagi.

“Malam ini saya hadir menyaksikan Perlawanan Amal PUC CUP antara pasukan Ex-TRW Treble 12 menentang Ex-Double Treble Kedah di Stadium Sultan Muhammad IV dan jujurnya, suasana sangat-sangat luar biasa.

“Stadium pulo penuh penar malei ni. Laungan, tepukan dan semangat penyokong jelas menggambarkan bahawa bola sepak Malaysia masih hidup dan tidak mati serta sangat dekat dengan rakyat,” katanya dalam hantaran di laman sosial.

Sementara itu, Annuar dalam hantaran di Facebook turut menyifatkan suasana di stadium sebagai manifestasi cinta dan rindu penyokong kepada era kegemilangan TRW lebih 12 tahun lalu.

Jelasnya, kembalinya ‘gelombang merah’ memenuhi stadium malam tadi bukan sekadar meniup semboyan keramat ‘Gomo Kelate Gomo!’ malahan, membawa seruan agar setiap pasukan mewakili Kelantan untuk bangkit dan kembali meniupkan cogan kata amaran ‘This is Kota Bharu’.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN