ALOR SETAR: Impian kanak-kanak Rusia, Vladimir Iakubanets, berusia dua tahun untuk menjadi doktor seperti datuknya tidak kesampaian apabila dia maut selepas disengat ubur-ubur ketika bercuti di Langkawi, baru-baru ini.
Ibunya, Olga, 32, berkata Vladimir sering menyuarakan hasrat mengikut jejak datuknya, seorang pakar bedah saraf di Rusia, untuk membantu mereka yang kesakitan.
Selain itu, kanak-kanak itu juga meminati kereta dan selalu bercakap tentang keinginannya untuk memandu laju seperti bapanya suatu hari nanti.
“Segala-galanya berlaku terlalu pantas. Ayah saya pakar bedah saraf dan anak saya mahu jadi doktor seperti datuknya. Dia juga suka kereta dan selalu kata mahu pandu laju seperti bapanya,” katanya selepas menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kedah, Datuk Salleh Saidin, hari ini.
Vladimir menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, pada Rabu selepas bertarung nyawa sejak insiden terbabit berlaku 15 November lalu.
Pasangan itu sebelum ini memaklumkan mereka berdepan kesukaran berkaitan dokumentasi serta urusan membawa pulang jasad Vladimir, yang dijangka dibakar sebelum abu dibawa pulang ke Rusia.
Sementara itu, bapa mangsa, Nikita, 32, berharap pihak berkuasa dapat mengiktiraf Vladimir sebagai ‘wira’ agar pemergiannya menjadi peringatan bagi mempertingkatkan keselamatan pantai dan mencegah kejadian seumpama itu daripada berulang.
“Kami berharap kematian anak kami adalah yang terakhir. Tiada siapa patut melalui apa yang kami lalui,” katanya.
Nikita turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kedutaan Rusia atas bantuan yang dihulurkan.
“Mereka kata akan membantu dan kami harap janji itu ditepati. Keselamatan pantai di Langkawi mesti dipertingkatkan. Kematian perlu dihentikan di situ dan pemergian anak kami harus menjadi pengajaran,” katanya.
Keluarga ini tiba ke Malaysia buat pertama kali untuk bercuti di Langkawi sejak 14 November lalu dan sepatutnya pulang ke Rusia pada 26 November. – UTUSAN










