Tuntut Pulau Pinang, Sanusi kata akan teruskan walaupun 1,000 tahun

Tuntut Pulau Pinang, Sanusi kata akan teruskan walaupun 1,000 tahun

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor (duduk, tengah) bergambar selepas Majlis Penghormatan dan Penghargaan Kepada Pelajar Lepasan Pondok Negeri Kedah 2025 di UniSHAMS, Baling.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Perjuangan Kedah menuntut hak negeri ini terhadap Pulau Pinang tidak akan dihentikan walaupun berlarutan sehingga mencecah usia ribuan tahun.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, perkara itu akan diteruskan kerana ianya membabitkan legasi nenek moyang serta amanah kepada generasi kini.

“Dia (Exco Pulau Pinang) kata saya ungkit benda 200 tahun lalu. Kalau 1,000 tahun pun saya akan ungkit juga. Hak kita, hak anak cucu kita.

“Pemimpin dulu mengharap anak cucunya pertahankan apa yang menjadi hak sekarang, dan kini anak cucu itu bangkit,” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Penghormatan dan Penghargaan Kepada Pelajar Lepasan Pondok Negeri Kedah 2025 di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), di sini hari ini.

Sebelum ini, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai menyifatkan tindakan Kedah memulakan proses undang-undang itu sebagai mengungkit perkara lama, selain menegaskan kedaulatan Pulau Pinang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan 1957.

Ujar Muhammad Sanusi, pihak yang mendakwa beliau sengaja membangkitkan isu lampau tidak memahami akar perjuangan Kedah kerana asal usul mereka bukan di sini.

“Akar perjuangan mereka bukan seperti kita kerana mereka bukan berasal di sini dan sudah tentu tiada dalam sanubari mereka dan sekadar singgah untuk cari makan. Perjuangan berdasarkan legasi generasi terdahulu itu tiada pada mereka, sebaliknya saya ada itu beza saya dengan mereka,” katanya.

Sementara itu, kerajaan negeri masih menunggu pasukan peguam melengkapkan proses teknikal berkaitan tuntutan undang-undang terhadap Pulau Pinang termasuk meneliti dokumen serta menentukan bentuk tuntutan munasabah mengikut peruntukan undang-undang.

Muhammad Sanusi berkata, pasukan guaman akan mengemukakan cadangan tuntutan selepas semua dokumen dan bahan berkaitan diteliti secara menyeluruh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN