Lebih 4,000 pelancong Malaysia terperangkap banjir Hat Yai dan Songkhla - Utusan Malaysia

Lebih 4,000 pelancong Malaysia terperangkap banjir Hat Yai dan Songkhla

BEBERAPA jalan masuk ke pusat bandar Hat Yai, Thailand ditutup akibat ditenggelami air sejak tengah malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Percutian rakyat Malaysia sempena cuti hujung minggu ke Hat Yai dan beberapa lokasi pelancongan lain sekitar wilayah Selatan Thailand bertukar sengsara apabila ribuan terperangkap berikutan banjir yang melanda lokasi pelancongan tersebut, sejak semalam.

Di sempadan Padang Besar, ramai pengunjung yang merancang ke Hat Yai berpatah balik selepas mengetahui lokasi tersebut dilanda banjir dengan paras air terus meningkat.

Dalam media sosial pula, ramai meluahkan mereka terperangkap di hotel masing-masing dan memohon bantuan segera.

Memuatkan artikel berkaitan…

Difahamkan, kira-kira 4,000 pelancong Malaysia terkandas di hotel-hotel sekitar Songkhla termasuk Hat Yai akibat jalan raya dinaiki air, namun ada juga dalam kalangan mereka sempat bergerak pulang pada sebelah pagi.

Jumlah kenderaan milik pelancong Malaysia yang ditenggelami air juga masih belum dapat dipastikan, namun setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Presiden Persatuan Industri Pelancongan Halal Thai-ASEAN (TAHTA), Aida Oujeh berkata, keadaan banjir khususnya di Hat Yai semakin memburuk dengan anggaran 800 pelancong Malaysia masih terperangkap di situ.

“Air semakin naik, malam tadi, kita ada pesan supaya pelancong bergerak pulang namun mungkin ramai menjangka keadaan tidak buruk dan memilih untuk kekal di hotel masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan perjalanan ke Selatan Thailand, susulan banjir yang melanda.

Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia agar sentiasa peka dengan perkembangan cuaca, mengikuti pengumuman serta arahan pihak berkuasa tempatan dari masa ke semasa dan menjaga keselamatan diri.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Sempadan negeri, Izizam Ibrahim berkata, mereka yang mahu ke Thailand dinasihatkan merancang jadual perjalanan bagi mengelakkan terperangkap di negara jiran tersebut.

Ujarnya, ramai pelancong dan pemandu kenderaan terpaksa menunggu berjam-jam selepas pihak berkuasa Thailand mengehadkan pergerakan masuk demi keselamatan, susulan paras air yang meningkat di beberapa laluan utama menuju ke pusat bandar Hat Yai.

“Pada sebelah pagi ini, ramai yang berpatah balik (di Padang Besar) dan bagi mereka yang sempat ke Thailand kelmarin, ramai yang terperangkap dan terkandas di sana. Kita minta mereka jaga keselamatan memandangkan air dikatakan terus meningkat khususnya di Hat Yai.

“Pada 19 November lalu, saya berada di Hat Yai atas tugasan dengan pada masa itu hujan lebat dengan banjir mula meningkat. Pada sebelah pagi (21 November), kita tangguh tugasan dan bergerak pulang ke Perlis,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN