Keunikan kraf batik, tekat benang emas, tarik minat golongan belia

Keunikan kraf batik, tekat benang emas, tarik minat golongan belia

LOI Yi Jing (kiri) dan Nur Zazatul Ain Annura Mohd Fadzil (tiga dari kanan) sedang merasai pengalaman mewarna batik di reruai MOTAC yang menjadi tarikan golongan belia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Kraf batik dan tekatan benang emas menjadi tarikan pengunjung di reruai Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) sempena Program Madani Rakyat (PMR) 2025 Perak di sini.

Reruai tersebut menjadi tumpuan pengunjung yang berpeluang mewarnakan batik yang disediakan Kraftangan Malaysia selaku agensi peneraju dan penyelaras bagi reruai MOTAC untuk penganjuran ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Shahriman, Beruas, Nur Zazatul Ain Annura Mohd Fadzil, 13, mengakui teruja dapat mewarnakan batik yang disediakan itu.

“Saya merasa seronok kerana merasai pengalaman mewarnakan batik.

“Sebelum ini memang ada perasaan teringin melakukannya tetapi tidak ada kesempatan dan sekarang peluang berbuat demikian berada di depan mata,” katanya ketika ditemui pada program tersebut.

Keterujaannya tidak terhenti terhadap batik sahaja, sebaliknya turut kagum dapat melihat bantal yang disalut sarung tekatan benang emas, warisan perhiasan Melayu yang banyak dihasilkan di Perak.

Beliau sebelum ini tidak pernah melihat perhiasan tersebut yang sebelum ini sering menjadi hiasan di istana dan majlis perkahwinan khususnya di negeri ini.

Bagi pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Dinding, Lumut, Loi Yi Jing, 17, pula gembira dapat hadir ke PMR itu kerana berpeluang melakukan aktiviti mewarna batik.

Beliau yang mengambil mata pelajaran Seni untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berkata, aktiviti itu secara tidak langsung membantunya menambah pengetahuan berkaitan seni budaya tempatan.

Sepanjang program berlangsung selama tiga hari di Lumut Waterfront itu, pelbagai aktiviti pengisian menarik disediakan seperti kuiz, interaktif dan demonstrasi kraf bertujuan menarik minat dan memberi peluang orang ramai mengetahui produk kraf tempatan.

Taklimat mengenai batik Malaysia pula diadakan pada petang Jumaat manakala demonstrasi tekatan benang emas dilakukan pada hari terakhir PMR Perak 2025, yang mana orang ramai turut berpeluang merasai pengalaman cara melakukan seni tekatan.

Turut diuar-uarkan adalah program Diploma Seni Kraf oleh Institut Kraf Negara yang membuat pengambilan pada setiap bulan Julai untuk warganegara Malaysia berusia 18 hingga 35 tahun yang berminat dan mempunyai bakat dalam bidang kraf. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN