PETALING JAYA: Kenari Utara Travel & Tours Sdn. Bhd. didenda RM20,000 selepas mengaku bersalah menjual sebuah bas persiaran bernombor pendaftaran PLD 8892 dan menyewakan permit kenderaan itu kepada Noreen Maju Trading iaitu entiti yang menjalankan aktiviti pelancongan tanpa lesen sah.
Perbuatan itu merupakan pelanggaran di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482], yang seterusnya membawa kepada tindakan tegas oleh pihak berkuasa terhadap syarikat bas berkenaan.
Bas persiaran terbabit sebelum ini terlibat dalam kemalangan maut di Gerik, Perak ketika membawa sekumpulan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pulang ke kampus Tanjong Malim pada 9 Jun lalu.
Mahkamah Majistret Gerik pada 3 November lalu mensabitkan syarikat berkenaan atas dua pertuduhan mengikut Peraturan 6(1)(f), Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan 1992 kerana gagal mematuhi syarat lesen yang melarang sebarang urus niaga dengan pihak tidak berlesen.
Menurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan sekiranya gagal membayar, syarikat boleh dikenakan hukuman penjara hingga lima tahun.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Zulaikha Mahadi bersama Pegawai Pendakwa MOTAC, Nurul Hidayah Aman.
MOTAC menegaskan, pelanggaran Akta 482 dan peraturannya merupakan kesalahan jenayah serius serta memberi amaran bahawa kementerian akan terus memperketatkan penguatkuasaan terhadap mana-mana pihak yang menjejaskan keselamatan dan integriti industri pelancongan negara.
“MOTAC komited untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mengancam keselamatan dan integriti industri pelancongan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam tragedi awal pagi 9 Jun lalu, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih, Terengganu ke kampus utama Tanjong Malim terbabit dalam kemalangan di Jalan Raya Timur–Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak.
Kemalangan itu turut menyebabkan 33 lagi mangsa cedera, termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV). -UTUSAN










