BUKIT MERTAJAM: Kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Jabatan Warisan Negara (JWN) komited untuk memperkukuh usaha memelihara warisan kebudayaan tidak ketara, khususnya dalam bidang makanan warisan yang semakin mendapat perhatian ketika ini.
Ketua Pengarah JWN, Mohamad Muda Bahadin berkata, perkara itu dibuktikan menerusi kejayaan penganjuran Festival Cita Rasa Warisan @IPT dengan tema ‘Cita Rasa Warisan, Aspirasi Belia’.
Beliau berkata, dalam hal ini, IPT atau institut pengajian tinggi menjadi platform yang ideal untuk mendekatkan golongan belia kepada akar budaya, sekali gus menjadikan mereka ejen pemelihara dan penyambung legasi warisan negara.
“Festival seperti ini bukan sekadar ruang pameran dan jualan makanan tradisional, tetapi juga medan perkongsian ilmu melalui persidangan, demonstrasi masakan, pertandingan dan bengkel interaktif.
“Semua ini memperlihatkan usaha bersama dalam memartabatkan makanan warisan sebagai aset pelancongan dan ekonomi budaya warisan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian festival tersebut yang disempurnakan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Baderul Amin Abdul Hamid di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pulau Pinang di sini, malam tadi.
Hadir sama Pemangku Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang, Prof. Datuk Ir. Dr. Ahmad Rashidy Razali serta beberapa kenamaan lain.
Difahamkan, UiTM Cawangan Pulau Pinang menjadi lokasi penutup bagi siri jelajah festival tersebut yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam.
Selain Pulau Pinang, festival yang sama turut diadakan di beberapa negeri lain sebelum ini termasuk Kedah, Sabah, Kelantan dan Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Baderul Amin percaya Festival Cita Rasa Warisan @IPT itu mampu menjadi platform terbaik untuk golongan belia menjiwai khazanah bangsa selain menjadi pemangkin ekonomi komuniti tempatan, terutamanya di kawasan Seberang Perai dan seluruh utara tanah air.
“Festival ini juga secara tidak langsung akan berperanan sebagai pemangkin utama dalam memperhebatkan promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026), sekali gus menonjolkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan budaya dan gastronomi yang bertaraf dunia,” ujar beliau.-UTUSAN










