KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju memperuntukkan sebanyak RM30 juta kepada organisasi media di negara ini bagi membolehkan transformasi digital dalam bidang kewartawanan dilakukan.
Peruntukan itu juga disifatkan sebagai bantuan terbesar oleh kerajaan kepada wartawan dalam sejarah sejak merdeka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan peruntukan itu berkata, keputusan berkenaan diambil selepas beliau membincangkan perkara tersebut dengan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Pada masa sama, katanya, beliau menyedari bahawa tuntutan perubahan dalam dunia kewartawanan itu perlu dan beliau bertanggungjawab untuk memastikan mutu penghasilan wartawan lebih baik.
“Saya setuju untuk memperuntukkan satu dana yang relatif besar membantu organisasi media dalam negara… umumnya dengan apa juga cara, transformasi digital itu berlaku dengan bantuan kerajaan.
“Latihan dan pendedahan kepada wartawan khususnya yang muda supaya dunia kewartawanan tidak ketinggalan dalam usaha mengejar kecerdasan buatan (AI) di samping menjamin keseimbangan AI dengan etika,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Pengarah Urusan Media Mulia Sdn. Bhd., Azlan Jaafar.
Peruntukan diumumkan Perdana Menteri itu antara lain untuk membantu organisasi media di negara ini melaksanakan transformasi digital dan penggunaan teknologi baharu dalam penghasilan bahan kandungan.
Pada Majlis Kemuncak HAWANA 2025 yang bertemakan “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika”, Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah Khas HAWANA 2025 dan Anugerah HAWANA 2025 kepada tokoh wartawan sebagai penghargaan atas sumbangan serta dedikasi dalam bidang kewartawanan.
Sumbangan Tabung Kasih@HAWANA juga disampaikan kepada tiga wartawan veteran yang diuji masalah kesihatan dan hadiah kepada pemenang Pertandingan Pesta Pantun HAWANA-DBP 2025. – UTUSAN