Kekeliruan paparan maklumat punca Fahmi Reza tidak dibenarkan ke luar negara

Kekeliruan paparan maklumat punca Fahmi Reza tidak dibenarkan ke luar negara

ZAKARIA SHAABAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memaklumkan tiada halangan bagi aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza membuat perjalanan ke luar negara. 

Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, namun begitu, sekatan masuk ke negeri Sabah masih lagi berkuat kuasa atas arahan pihak berkuasa negeri.

Kata beliau, jabatan ini juga mengambil maklum berkenaan kekeliruan yang timbul susulan perbezaan paparan maklumat antara versi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dalam sistem semakan status perjalanan di laman rasmi. 

“Hal ini timbul kerana portal versi Bahasa Inggeris sedang dalam proses pengemaskinian. Justeru itu, portal versi Bahasa Inggeris telah ditutup sementara waktu bagi tujuan pengemaskinian tersebut. 

“Pihak Jabatan sedang menjalankan semakan teknikal secara dalaman bagi semakan teknikal secara dalaman bagi memastikan ketepatan dan konsistensi maklumat yang dipaparkan dalam semua versi bahasa agar tidak menimbulkan kekeliruan kepada pengguna,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, JIM sentiasa komited untuk melaksanakan tanggungjawab berdasarkan peruntukan undang-undang, dengan menjunjung prinsip ketelusan dan profesionalisme dalam semua aspek penyampaian perkhidmatan.

Sebelum ini media melaporkan, Fahmi akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkuasa susulan isu sekatan pergerakan sedangkan dia tidak dikenakan perintah sedemikian.

Fahmi atau nama sebenarnya Mohd. Fahmi Reza Mohd. Zarin dalam kenyataan yang dikongsikan di Facebook (FB) dipetik berkata, dia sudah membaca jawapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menyemak isu larangan ke luar negara berkenaan.

Dia mendakwa kenyataan polis pula menuding jari kepada pihak Imigresen.

Media turut melaporkan, tiada sekatan pergerakan dikenakan ke atas Fahmi seperti digembar gemburkan di media sosial.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Fahmi Reza hanya disenarai dalam senarai pemantauan Polis Diraja Malaysia (PDRM). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN