Johor mahu bina RMMJ, mohon kerajaan Pusat pulangkan tanah tidak dibangunkan

Johor mahu bina RMMJ, mohon kerajaan Pusat pulangkan tanah tidak dibangunkan

ONN HAFIZ Ghazi (tengah) bergambar dengan para penerima sijil pemilikan rumah sempena Majlis Penyerahan Sijil RMMJ Daerah Johor Bahru di Dewan Raya Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor mahu kerajaan Pusat memulangkan semula tanah yang tidak dibangunkan bagi membolehkan kerajaan negeri melaksanakan lebih banyak projek Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) di kawasan terlibat.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, usaha itu bagi membolehkan lebih ramai rakyat negeri ini mampu membeli kediaman pada harga berpatutan di lokasi-lokasi bersesuaian.

“Kerajaan negeri tidak pekak atau tuli, kami dengar rintihan dan luahan hati rakyat. Ramai penduduk Johor Bahru, khususnya mengeluh kos sara hidup di bandar raya ini semakin tinggi dan harga rumah meningkat.

“Kami akan berkolaborasi dengan pelbagai pihak termasuk kerajaan Persekutuan. Ketika ini kami sedang tinjau tanah milik Kementerian Kesihatan di Kempas, kawasannya luas. Jika tanah itu tidak mahu dipakai, pulang balik kepada kerajaan negeri, kami mahu bangunkan lagi rumah mampu milik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sijil RMMJ Daerah Johor Bahru di Dewan Raya Taman Bukit Indah, di sini hari ini.

Onn Hafiz berkata, setakat ini kerajaan negeri menerima lebih 85,000 permohonan bagi RMMJ dan lebih 16,000 unit telah diserahkan kuncinya kepada pemilik serta menyasarkan dapat membina 100,000 unit RMMJ menjelang tahun 2030.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor memberitahu, pihaknya telah membuat permohonan tentang hasrat kerajaan negeri untuk membangunkan RMMJ di atas tanah KKM di Kempas, awal tahun ini.

“Tanah tersebut berkeluasan 161 hektar. Kerajaan negeri hanya memohon separuh atau bersesuaian bagi membina sebanyak 2,000 unit RMMJ.

“Jika dibenarkan, kediaman tersebut bukan hanya akan memberi manfaat kepada rakyat Johor, malah juga kepada kakitangan kerajaan Pusat yang menetap dan bekerja di negeri ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN